Siakap Keli

Polis Rampas Rokok, Arak Seludup Bernilai RM53,000

MELAKA, 19 Jan (Bernama) — Polis menahan dua lelaki serta seorang wanita dan merampas 331 botol dan 744 tin minuman keras pelbagai jenama serta 87 karton rokok dipercayai barang seludup, dalam serbuan di dua premis di Melaka Raya dan Ujong Pasir di sini, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata nilai minuman keras yang dirampas dalam serbuan antara pukul 4.30 petang dan pukul 6.30 petang itu ialah sekitar RM38,508 termasuk cukai, manakala nilai rokok termasuk cukai dianggarkan RM15,399.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka yang ditahan berumur antara 21 dan 28 tahun, dan salah seorang daripada suspek merupakan peniaga minuman keras, dan kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Siasatan awal mendapati minuman keras dan rokok berkenaan akan dihantar kepada pelanggan selepas mereka menerima pesanan menerusi aplikasi WeChat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan polis masih menyiasat sumber bekalan rokok serta minuman keras seludup berkenaan diperoleh.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.