Siakap Keli

‘UDA’ Terus Bantu Pelajar Memerlukan Seluruh Malaysia Sempena Ulang Tahun Ke-50

SEREMBAN, 18 Januari 2021 – UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, berkongsi kemeriahan sambutan ulang tahun ke-50 tahun ini bersama 700 pelajar yang memerlukan melalui program tahunan ‘Back to School 2021’. Program yang berlangsung di seluruh Semenanjung Malaysia melalui anak syarikat UDA di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan itu selari dengan tunggak utama Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) UDA iaitu UDA Cares Educational.

Menyasarkan pelajar yang kurang bernasib baik di sekitar wilayah perniagaan UDA, program tahunan ini diadakan bertujuan membantu para pelajar untuk lebih bersedia dan bersemangat bagi memulakan sesi persekolahan pada 2021. Sumbangan adalah berupa beg sekolah, kasut, alat tulis, topeng muka, pembersih tangan (hand sanitizer) dan RM160 untuk pembelian set lengkap baju sekolah dan kasut yang kesemuanya bernilai RM250 setiap satu.

Berbeza dengan program sebelumnya, pada tahun ini pihak UDA tidak berpeluang membawa pelajar-pelajar tersebut membeli-belah. Kali ini, pelajar akan menerima RM160 wang tunai dan membeli pakaian serta kasut sekolah sendiri mengikut saiz yang dikehendaki. Hal ini bagi membendung jumlah kes yang tinggi dan mengelakkan perhimpunan dalam jumlah yang ramai.

Penyerahan yang disempurnakan oleh Pengerusi UDA, YB Dato’ Jalaluddin Alias kepada wakil setiap sekolah yang kemudiannya akan edarkan sumbangan secara terus kepada pelajar yang layak. Menerusi bantuan ini, seramai 300 pelajar di Negeri Sembilan menerima manfaat. Pada 12 Januari yang lalu, sumbangan seumpamanya turut diadakan melalui anak syarikat UDA iaitu Angsana Johor Bahru Mall yang melibatkan 200 pelajar asnaf dari 10 buah sekolah yang berdekatan.

Pengerusi UDA, Dato’ Jalaluddin Alias ​​berkata, “Sempena menyambut ulang tahun UDA ke-50, pelbagai aktiviti dirancang dan sebahagiannya adalah bantuan kepada komuniti khususnya sewaktu Covid-19 yang mencabar ini. Program ‘Back to School’ juga adalah langkah proaktif UDA dalam membantu golongan memerlukan bagi memastikan anak-anak bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran tahun 2021. Pelajar adalah antara golongan yang paling terkesan semasa pandemik ini. Pendidikan mereka sedikit sebanyak terganggu ketika proses penyesuaian ke norma baharu iaitu pembelajaran secara dalam talian di rumah. Harapan kami supaya kelengkapan sekolah yang tidak seberapa ini dapat menyuntik semangat baharu pelajar untuk pulang ke sekolah setelah berbulan-bulan belajar dari rumah. Hal ini sejajar dengan tonggak perniagaan kami iaitu memperkasa gaya hidup lestari.

Beliau menambah, “Sejak awal pandemik Covid-19, ekonomi rakyat Malaysia telah terkesan dan inilah masa yang sesuai untuk UDA menyumbang semula kepada masyarakat. Sejak Mac tahun lalu, UDA telah menyalurkan sumbangan secara konsisten kepada pelbagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha membendung Covid-19. Sehingga kini, UDA telah menyumbang sebanyak RM20 juta yang berupa insentif untuk usahawan yang menyewa di kompleks beli-belah di bawah seliaan UDA yang meliputi pengecualian dan/atau diskaun sewa. Selain itu, UDA turut menyalurkan keperluan dan pek makanan ke hospital serta petugas barisan hadapan dan pesakit Covid-19”.

Ditubuhkan pada 12 November 1971, UDA atau sebelum ini dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar adalah peneraju dalam perancangan pembangunan bandar dari aspek komersial dan perumahan. Kini, UDA beroperasi sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Prestasi membanggakan selama 50 tahun ini melambangkan kejayaan UDA dalam mengembangkan landskap bandar di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Terengganu. Melangkah ke hadapan, UDA akan terus mengukuhkan kedudukannya di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta melakar lebih banyak pencapaian membanggakan dalam usaha membantu lebih ramai rakyat Malaysia khususnya dalam pemilikan harta tanah.

Meraikan ulang tahun yang ke-50, UDA terus komited mencapai kejayaan untuk kekal utuh dalam tempoh 50 tahun akan datang dengan momfokuskan pada prinsip utama perniagaan kami, iaitu memperkasa gaya hidup lestari.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.