Pernah terfikir tak, macam mana haiwan peliharaan kita melihat dunia? Adakah pandangan mereka sama seperti mata kita ataupun berbeza?
Jika dilihat pada rekabentuk mata mereka dengan kita, besar bezanya dengan manusia. Jadi, jika anda ingin tahu bagaimana penglihatan mereka yang sebenarnya, teruskan pembacaan di bawah.
Sebuah platform pasaran digital berpangkalan di Amerika Syarikat, HomeAdvisor telah berkongsi bagaimana haiwan-haiwan melihat dunia, tulis Daily Mail.
Perkongsian itu adalah untuk memahami bagaimana penglihatan haiwan berfungsi, supaya pemilik dapat memilih kelengkapan yang sesuai warnanya bagi menarik perhatian haiwan peliharaan mereka, tulis portal itu.
“Anda sayangkan haiwan peliharaan anda. Tapi, anda juga sayangkan rumah anda. Apa yang menarik ialah ‘ahli keluarga’ anda itu melihat rumah anda berbeza dari pandangan anda.
“Ia bukan kerana selera, tetapi bagaimana mata mereka dicipta,” tulis HomeAdvisor seperti dikongsikan portal berkenaan.
Justeru, tanpa membuang masa, mari kita lihat gambaran pandangan haiwan ini berbanding manusia.
Anjing
Menurut Daily Mail, haiwan seperti anjing dan kucing mampu melihat warna yang lebih sedikit berbanding kebanyakan manusia. Oleh itu, spesies ini khususnya anjing bergantung kepada bau dan ingatan untuk meneroka rumah. Jadi, tindakan mengubah kedudukan perabot atau dalaman rumah secara drastik mungkin akan menjejaskan pengalamannya di rumah.
Selain itu, anjing dipercayai hanya mempunyai dua jenis sel kon yang membolehkan ia melihat warna biru, kuning serta kombinasi dua warna berkenaan sahaja.
Bagaimanapun, ia dikatakan mempunyai sudut pandangan yang lebih besar sehingga 240° berbanding manusia (180°), membuatkan ia dapat melihat ruang dengan lebih luas.

Kucing
Bagi kucing pula, ia dapat melihat lebih sedikit warna berbanding manusia, iaitu kuning, biru, hijau dan sedikit merah. Justeru, bagi membantu penglihatan haiwan ini, penting bagi kita memilih permainan atau peralatan dalam warna tersebut untuk kegunaan si bulus, tulis Daily Mail memetik kenyataan Home Advisor.
Kucing juga mempunyai skop penglihatan yang lebih luas berbanding manusia di mana ia mampu melihat sudut seluas 200°. Malah bagi kucing, jumlah sel photoreceptor yang banyak di dalam mata mereka membolehkan ia melihat dalam gelap atau kekurangan cahaya berbanding kita.

Ikan emas

Skop pandangan ikan emas adalah lebih luas berbanding manusia dengan kemampuan kornea matanya mengumpul cahaya dari sudut hampir 360°, tulis Home Advisor.
Selain itu, ia dipercayai boleh melihat spektrum elektromagnetik yang lebih luas termasuk sinar ultraviolet berbanding manusia yang hanya boleh melihat sinar nampak (visible light). Dengan kebolehan ini beserta ketumpatan mata yang sama dengan ketumpatan air, matanya dapat berfungsi dengan baik di dalam medium berkenaan.
Ular

Bagi penggemar reptilia, ular merupakan salah satu haiwan yang boleh dijadikan teman. Bagaimanapun, teman yang satu ini rupanya tidak dapat melihat wajah anda dengan jelas biarpun pada waktu siang.
Berbekalkan penglihatan inframerah dan rangsangan deria pada lapisan membran antara hidung dengan matanya, ular menghasilkan imej berpandukan haba.
Haiwan ini juga dikatakan tidak mempunyai kelopak mata, sebaliknya mempunyai lapisan perlindungan yang seakan kanta lekap yang diperbaharui ketika mereka bersalin kulit. Unik bukan?
Sumber: Daily Mail, My Health