Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Projek Kuari Dipercayai Punca Kemusnahan Hutan Simpan Segari Melintang

IPOH, 20 Jan (Bernama) — Kemusnahan alam sekitar di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung dipercayai berpunca daripada tapak projek kuari granit.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia merupakan hasil siasatan awal  yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak ke atas kawasan hutan simpan itu pada Isnin lepas dan semalam.

“Siasatan awal mendapati terdapat enam ketidakpatuhan syarat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) terutama melibatkan kerja-kerja tanah yang dijalankan tanpa mengikut pelan Langkah-langkah Pencehan Pencemaran dan Mitigasi Tanah (LD-P2M2),” katanya menerusi ciapan di laman Twitter rasminya hari ini.

Beliau berkata JAS Perak sedang melengkapkan kertas siasatan dan memanggil pihak-pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.

Katanya JAS Perak juga telah memasang pita kordon dan mengeluarkan arahan di lapangan serta notis arahan untuk tindakan remedi.

Pada 17 Jan lepas, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) membawa media meninjau kawasan terlibat dan mendakwa Air Terjun Tanjung Batu Teluk Sera, Segari di Pantai Remis, Beruas terletak di hutan simpan berkenaan yang menjadi tarikan pelancongan, kini musnah hampir 90 peratus susulan aktiviti kuari sejak tahun lepas.

Susulan itu, kerajaan negeri telah mengarahkan sebarang kerja termasuk aktiviti kuari di kawasan air terjun berkenaan dihentikan sementara bagi menunggu hasil siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'