Siakap Keli

Unik Lagi Bergaya, Viral Gelang & Cincin Mewah Mirip “Cable Tie“, Harga Lebih RM 2 Ribu

Baru-baru ini hangat diperkatakan oleh warganet apabila tular fesyen terkini sebentuk cincin dan gelang yang menyerupai pengikat kabel atau ‘cable tie’.

Walaupun nampak ringkas, jangan terkejut bahawa harga gelang dan cincin tersebut didakwa mampu mencecah sehingga RM2,000 setiap satu.

Untuk pengetahuan anda, rekaan unik tersebut sebenarnya dihasilkan oleh syarikat pengeluar barangan fesyen dan perhiasan terkenal, Ambush Design yang bertempat di Tokyo, Jepun.

Difahamkan, rekaan  fesyen yang dikeluarkan Ambush Design adalah sejajar dengan kehendak serta nilai estetika warga metropolitan Tokyo yang gemar dengan perhiasan moden serta unik.

Gambar: Ambush Design

Mula dilancarkan pada 2008, barangan perhiasan Ambush Design semuanya agak ‘premium’, malah ada yang menyerupai barangan-barangan di luar kotak fikiran seperti ‘cable tie’, pin dan sebagainya.

Segala kejayaan Ambush dalam menghasilkan pelbagai rekaan fesyen menarik hingga menambat hati pencinta fesyen di seluruh dunia adalah kerana ‘air tangan’ pengasasnya, Yoon Ahn.

Yoon Ahn yang merupakan pengasas jenama Ambush ialah lulusan rekaan grafik dari Universiti Boston, Amerika Syarikat pada 1998.

Pereka fesyen berdarah kacukan Amerika-Korea ini memulakan kariernya dengan membangunkan beberapa rekaan selepas tamat pengajian di universiti.

Pereka & pengasas Ambush, Yoon Ahn | Gambar: Google

Bermula dengan Ambush Design Company, dia dan suaminya, Verbal ketika itu menghasilkan rekaan bagi ‘cover’ album beberapa artis tempatan.

Pada 2003 berikutnya pula mereka berpindah ke Tokyo dan mula memfokuskan penciptaan barangan-barangan kemas dan perhiasan dengan membangunkan produk barangan kemas berjenama Antonio Murphy & Astro.

Ekoran kejayaannya mencipta pelbagai rekaan menarik, Yoon berpeluang merangkul pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam industri fesyen termasuklah berkolaborasi bersama selebriti antarabangsa, Kanye West.

Sehinggalah pada 2008, Yoon secara rasminya melancarkan syarikat pengeluar fesyen di bawah jenamanya sendiri, Ambush Design seperti apa yang kita lihat pada hari ini.

Paparan senarai produk di laman web Ambush Design.
Paparan senarai produk di laman web Ambush Design.

Jika ‘menyelam’ ke laman web Ambush Design, mata kita akan disajikan dengan pelbagai barangan perhiasan unik. Pakaian lelaki, wanita, barangan kemas dan sebagainya, semuanya direka khas oleh sentuhan air tangan Yoon.

Berdasarkan petikan laporan CNN, cincin dan gelang mirip seakan ‘cable tie’ yang tular baru-baru ini, Yoon mendakwa ideanya untuk mencipta rekaan sedemikian adalah tercetus daripada ‘cable tie’ yang sebenar.

Walaupun nampak kelakar, harga cincin tersebut boleh menjangkau sehingga RM2,000 setiap satu.

Tidak hanya ‘cable tie’ yang menjadi sumber inspirasi idea, malah Yoon juga turut menghasilkan gelang tangan yang menyerupai rantaian pin.

Jika di Malaysia, adat orang kita pada zaman dulu-dulu, pin ini digunakan oleh emak-emak untuk mencantumkan lampin bayi di pinggang.

Cubalah ‘menyelam’ lebih dalam lagi di Ambush. Anda pasti akan terpegun dengan kreativiti Yoon.

Sumber: Ambush Design / CNN / Wikipedia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'