Baru-baru ini, sekumpulan pengunjung yang mengadakan perhimpunan di Guernsey Close, Basingstoke dilaporkan diserbu oleh pihak polis pada 16 Januari yang lalu. Kumpulan tersebut mengatakan kepada pihak polis bahawa mereka tidak mengetahui wabak COVID-19 kerana mereka tidak menonton berita.
Hal ini membuatkan pegawai polis dari Hampshire Constabulary kehilangan kata-kata setelah mendengar jawapan daripada kumpulan berkenaan. Walau begitu, mereka dipercayai telah dikenakan saman atas kesalahan melanggar peraturan SOP.
Menurut HampshireLive, pihak polis didakwa menyerbu premis tersebut sekitar pukul 8.33 malam pada hari Sabtu yang lalu berikutan terdapat beberapa laporan mengenai pesta yang berlaku.
“Siasatan sedang dijalankan dengan tujuan untuk melaporkan individu yang terlibat untuk disaman berikutan pelanggaran COVID-19,” kata seorang jurucakap Hampshire Constabulary.
Berikutan itu, Hampshire dan seluruh England dikatakan masih dalam keadaan perintah berkurung bagi mengurangkan penularan COVID-19. Hal ini, penduduk tidak dibenarkan untuk meninggalkan atau berada di luar kediaman mereka kecuali jika perlu.
Sumber: Daily Star