KUANTAN, 21 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya merampas dadah jenis methamphetamine, dianggarkan seberat empat kilogram bernilai RM160,000 yang dipercayai cuba diseludup ke Pulau Tioman, Rompin kira-kira 170 kilometer dari sini.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Datuk Amran Daud berkata dadah itu ditemukan dalam tong putih dan dibalut dengan plastik putih serta pembungkus teh cina, dalam sebuah bot fiber pada serbuan 11.30 malam tadi, (20 Jan) di perairan Teluk Gading Endau, Rompin.
“Semasa itu, Pasukan Maritim Pahang mengesan kehadiran sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dipercayai dikemudi oleh seorang lelaki, yang bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1 batu nautika dari muara Sungai Endau, menuju ke Pulau Tioman.
“Sebaik sahaja menyedari kehadiran kami, suspek bertindak memadam lampu bot dan dipercayai mengemudi bot ke tebing sungai bagi melarikan diri, tanpa membawa dadah tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Pahang di sini, hari ini.
Amran berkata nilai rampasan termasuk bot dan sebuah enjin sangkut 30 kuasa kuda dianggarkan sebanyak RM182,000, dengan semua barangan itu dibawa ke Jeti Post Maritim Tanjung Gemok bagi tindakan lanjut.
Rampasan tersebut merupakan rampasan pertama Maritim Pahang bagi kes berkaitan dadah di negeri ini.
“Kita tidak menolak kemungkinan suspek sebahagian daripada sindiket yang aktif menyeludup dadah ke Pulau Tioman, dan mereka sanggup mengambil risiko keadaan laut masih bergelora akibat musim tengkujuh bagi memenuhi permintaan tinggi di sana,” katanya.
— BERNAMA