Siakap Keli

Ngeri, Gara-gara Cabut Gigi Dengan ‘Fake Dentist’, Pesakit Ini Sengsara Rahang Mereput & Putus Dua

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Doktor gigi palsu, doktor gigi jadian atau ‘fake dentist’ sememangnya merupakan musuh dalam selimut dalam dunia perubatan.

Tanpa sebarang kelulusan dan profesional, mereka berani menjalankan perkhidmatan perubatan pergigian semata-mata mahu menjana keuntungan peribadi.

Namun yang menanggung sakitnya adalah ‘pesakit’ yang mendapatkan rawatan tersebut.

Baru-baru ini, berlaku satu tragedi ‘ngeri’ yang menghantui seorang pesakit apabila rahangnya rosak dan terputus, gara-gara mencabut gigi yang sakit dengan ‘doktor’ gigi palsu.

Mari ikuti kisah benar yang dikongsikan oleh pengamal perubatan pergigian, Dr. Mohd Khairul Izwan di bawah ini.

Gambar: Dr Khairul Izwan

Baru-baru ini, kami menerima satu kes yang dirujuk dari bahagian kecemasan hospital.

Pesakit tersebut mengalami bengkak dan sakit pada bahagian muka sebelah kiri sejak satu minggu. Bengkak tersebut semakin membesar sehingga pesakit mengalami kesukaran untuk membuka mulut.

Ketika pemeriksaan dilakukan, kelihatan bahagian kiri muka pesakit bengkak kira-kira sebesar bola tenis dan berwarna sedikit kemerahan.

Di dalam mulut pesakit pula terlihat seperti bekas cabutan gigi geraham di bahagian rahang bawah kiri, dengan keadaan gusi yang sedikit bengkak serta menampakkan sebahagian daripada tulang rahang dan turut kelihatan nanah disekitarnya.

Curiga dengan keadaan tersebut, sesi menggali “sejarah perubatan” pun dilakukan.

Menurut pesakit, beliau pernah menjalani rawatan cabutan gigi kira-kira 3 minggu sebelumnya di sebuah “klinik swasta” berdekatan pekan Z. Namun apa yang pelik, setahu saya, tiada klinik swasta yang berdaftar di pekan tersebut.

Setelah beberapa soalan lanjut diajukan, maka barulah pesakit mengaku yang beliau sebenarnya telah mencabut gigi di sebuah premis yang dikendalikan oleh tukang gigi.

Tukang gigi tersebut sebenarnya menjalankan perniagaan membuat gigi palsu, namun turut menjalankan rawatan cabutan gigi secara haram ke atas pelanggan-pelanggannya.

Menurut pesakit, beliau mencabut gigi geraham kiri bawah dengan harga sebanyak RM60. Setelah selesai mencabut gigi, beliau mengalami kesakitan di tempat bekas cabutan gigi tersebut selama beberapa hari. Kemudian beliau pergi semula ke “klinik gigi” tersebut dan cuma diberikan ubat tahan sakit serta disuruh berkumur dengan air garam sahaja di rumah.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

Pesakit pulang semula ke rumah dan mula mengalami bengkak pada bahagian mukanya selepas beberapa hari kemudian. Tidak tahan dengan kesakitan yang dialami, pesakit pun kemudiannya pergi ke bahagian kecemasan hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bimbang ada akar gigi yang patah dan tertinggal di dalam sehingga menimbulkan jangkitan kuman dan mengakibatkan mukanya bengkak, maka saya menyarankan kepada pesakit untuk mengambil x-ray di bahagian mukanya. Pesakit pun bersetuju.

Namun selepas x-ray diambil, apa yang terlihat sebenarnya bukanlah akar gigi yang tertinggal sebaliknya tulang rahang beliau sudah mengalami proses pereputan dan “terputus” kepada 2 bahagian!

Dalam istilah perubatan, keadaan ini disebut sebagai “osteomyelitis” iaitu jangkitan kuman yang berlaku ke atas tulang.

Dikhuatiri, keadaan ini berlaku ke atas pesakit kerana prosedur cabutan gigi dilakukan dalam keadaan yang tidak bersih dan steril sehingga menyebabkan berlakunya jangkitan kuman pada kawasan bekas cabutan gigi tersebut sebelum merebak ke bahagian tulang akibat tiada rawatan lanjut yang diberikan dengan segera.

Memburukkan lagi keadaan, pesakit mempunyai masalah darah tinggi dan juga kencing manis yang menyebabkan jangkitan kumannya merebak dengan lebih cepat.

Malang sungguh pesakit tersebut, sudahlah bayar mahal untuk cabut gigi, selesai cabutan, mengalami kecacatan kekal pula di bahagian tulang rahangnya. Namun itulah “harga” sebenar yang perlu dibayar olehnya kerana mendapatkan rawatan pergigian haram daripada individu yang tidak bertauliah sebagai doktor gigi.

Sedangkan kalau di klinik gigi kerajaan, cabut gigi cuma perlu bayar RM1 sahaja. Malah kalau di klinik gigi swasta sekalipun, walaupun harganya mahal, sekurang-kurangnya rawatan yang diberikan adalah selamat.

Menurut pesakit tersebut, beliau hanya mengikut rakan untuk mendapatkan rawatan di premis tersebut kerana percaya dengan kata-kata rakannya. Menurut rakannya, sudah ramai yang pergi ke situ untuk mencabut gigi sebelum ini.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

Bagi mencegah jangkitan kuman menjadi lebih teruk, rawatan dilakukan dengan cara “mencuci” bahagian tulang yang dijangkiti kuman dan ubat antibiotik diberikan. Pesakit kemudian perlu datang untuk “follow-up” secara berkala bagi melihat dan memantau tahap kesembuhan tulangnya.

Kelihatan riak penyesalan terpancar dari wajahnya. Mungkin kesal kerana terlalu percaya dengan kata-kata rakan sehingga beliau perlu menanggung akibat dan kecacatan kekal seumur hidupnya.

Beliau juga bersetuju untuk menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil ke atas tukang gigi serta premis tersebut agar tiada lagi orang lain yang menanggung akibat yang sama sepertinya.

Nasihat saya, tolonglah jauhi individu yang menjalankan rawatan pergigian haram termasuk tukang gigi serta “fake dentist”.

Tidak kiralah apa sahaja rawatan pergigian yang mereka tawarkan sama ada braces, veneer, pemutihan gigi, gigi palsu ataupun cabutan gigi, jangan sesekali percaya dan menyerahkan diri anda untuk menjadi mangsa mereka.

Kerana mereka hanya mementingkan keuntungan dan langsung tidak mempedulikan tentang kesihatan anda serta akibat lain yang bakal terjadi. Sekiranya sesuatu berlaku, maka anda sendiri yang akan menanggung akibatnya sedangkan mereka mungkin akan lesap begitu sahaja.

Kisah ini hanyalah sebahagian daripada pelbagai kisah yang terjadi kepada mangsa tukang gigi dan fake dentist haram ini. Dan semoga ada sesuatu yang anda boleh belajar dan mengambil iktibar daripada kisah ini.

Jangan jadikan diri anda sebagai mangsa mereka! Sayangilah diri dan kesihatan anda kerana ianya tidak ternilai. Pantau juga ahli keluarga dan orang-orang terdekat anda agar mereka tidak terlibat atau menjadi mangsa.

Tolong dapatkan rawatan pergigian hanya daripada doktor gigi bertauliah di klinik gigi berdaftar sahaja.

Semoga bermanfaat!

Dr. Mohd Khairul Izwan
Suka berkongsi.

Jemput “Follow” FB saya dan set “Favourite” supaya anda tidak terlepas info yang menarik dan sangat berguna tentang kesihatan pergigian.

#DakwahGigi

(Pesakit memberikan kebenaran untuk kisah ini dikongsikan di media sosial agar masyarakat dapat mengambil iktibar, namun tidak bersedia berkongsi gambar wajahnya kerana bimbang soal keselamatan).

Sumber: Dr. Mohd Khairul Izwan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'