Siakap Keli

(Video) “Aku Suami Paling Bertuah…”, Setia Jaga Isteri Lumpuh, Edika Yusof Luah Rasa Syukur Sambut “Anniversary” Ke-18

Pelakon terkenal, Edika Yusof baru-baru ini menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-18 bersama isteri tercinta, Hidayah.

Meskipun terpaksa berkerusi roda setiap masa akibat komplikasi kesihatan, itu tidak memberi sebarang bebanan dan tekanan buat Edika sepanjang mereka melayari bahtera rumah tangga bersama-sama selama ini.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Edika memuat naik detik indah meraikan ulang tahun mereka dengan suasana romantis di samping turut menghadiahi Hidayah sebuah kek.

Tiada sebarang majlis besar-besaran, tiada kostum menawan, jauh lagi menghebahkannya untuk publisiti, pasangan berdua ini tenang menyambut hari bahagia mereka hanya dengan kek ringkas, ucapan dan doa.

Dengan penuh rasa bahagia, Edika menjelaskan bahawa dirinya begitu bertuah kerana ditakdirkan memiliki seorang isteri yang sangat disayangi.

“Saya ialah suami yang paling bertuah sebab memiliki awak di sisi saya. Isteri seperti awak adalah rahmat. Saya bersyukur kepada Allah kerana memilikimu. Selamat hari ulang tahun isteriku sayang,” jelasnya dalam kapsyen hantaran tersebut.

Hidayah dilaporkan lumpuh kerana mengalami meningtis hingga menyebabkan dirinya perlu bergantung dengan pelbagai alat rehabilitasi sebagai rawatan dan bantuan rutin seharian.

Walaupun pernah digilai ramai ketika zaman mudanya dalam dunia seni satu ketika dahulu, namun di dunia realiti, aktor berusia 54 tahun ini membuktikan kesetiaannya terhadap isteri tercinta yang begitu agung.

Hasil perkahwinan mereka berdua, Edika dan Hidayah berbahagia menjalani kehidupan bersama tiga anaknya, iaitu Fardeen Nasrulhaq, Fereena Nurulhaq dan Nazirul Afiq.

Sumber: Instagram Edika Yusof

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'