GEORGE TOWN, 22 Jan (Bernama) — Dua individu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa insiden kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung, Tanjung Tokong di sini Ahad lepas.
Tertuduh berusia 38, dan 29 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.
Bagaimanapun, dua lagi tertuduh berusia 28, dan 24, yang turut didakwa atas pertuduhan sama mengaku tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membuat provokasi terhadap tiga anggota polis di simpang lampu isyarat Jalan Tanjong Tokong di sini pada 5.40 petang 17 Jan lepas mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Rosnee menetapkan 25 Jan ini sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh 38 serta 29 dan 25 Feb sebagai sebutan kes bagi tertuduh 28 serta 24 untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Beliau turut membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing RM6,000 dengan seorang penjamin.
Keempat-empat tertuduh bersama tiga lagi iaitu individu berusia 45, 25, dan 20 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa dan di tempat yang sama.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021 yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah turut menetapkan Isnin ini untuk menjatuhkan hukuman bagi kesalahan itu dan membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ACP Siti Hajar Jaafar dan hanya tertuduh berusia 20 tahun diwakili peguam iaitu Mohd Rafiee Noordin.
Sumber: BERNAMA