Siakap Keli
Gambar: Natipah Abu

Ibu Tunggal Besarkan Enam Anak Perlukan Sumbangan Anda Untuk Buka Gerai, Nak Berniaga Nasi Lemak Sara Hidup

Di saat kita selesa berniaga di kedai sendiri, ada orang lain yang terpaksa bersusah-payah ‘menumpangkan’ barang jualan di tempat orang.

Demikianlah seperti yang dikongsikan oleh aktivis kemasyarakatan yang aktif menjalankan kerja-kerja sukarelawan, Puan Natipah Abu.

Menerusi satu perkongsian di Facebook pagi ini, Puan Natipah memaklumkan bahawa terdapat seorang ibu tunggal yang gigih menyara keluarga dengan berniaga nasi lemak.

Di sebalik kegigihannya yang rajin mencari rezeki demi anak-anak, tersimpan satu kisah derita dan sebuah hasrat yang dipendamkannya selama ini.

Untuk ketahui dengan lebih lanjut, mari baca perkongsian oleh Puan Natipah di bawah ini.

Sedekah Jumaat, warung nasi lemak memerlukan RM5,000

Gambar: Natipah Abu

Puan Suzie (42 tahun) seorang ibu tunggal yang mempunyai enam orang anak berusia di antara 8 – 21 tahun. Semua anak-anak masih di bangku sekolah termasuk seorang di IKM dan seorang lagi di UITM.

Perkahwinan Puan Suzie yang dibina atas dasar suka sama suka ketika usianya 20 tahun itu, mula dilanda badai sejak lima tahun lalu.

Bersama anak-anak, Puan Suzie membawa diri memulakan hidup baru di sebuah rumah yang disewa dengan kadar sewa RM450 sebulan.

Sepanjang perkahwinan, Puan Suzie memang tidak pernah bekerja namun beliau mempunyai pengalaman membuat nasi lemak, dipelajari daripada arwah abangnya yang mengusahakan warung nasi lemak di KL.

Jadi, setelah hidup sendiri, membuat nasi lemak itulah satu-satunya kemahiran yang beliau ada untuk mencari rezeki bagi menyara anak-anak yang masih kecil.

Istilah letih dan sedih sudah tiada dalam diari kehidupannya kerana yang penting, anak-anak dapat membesar dan belajar walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Mendapat bantuan sara hidup daripada pihak zakat Kedah, wang itulah digunakan untuk membayar sewa rumah dan bil letrik manakala hasil jualan nasi lemak pula sepenuhnya untuk menyara kehidupan.

Bersengkang mata seawal dua pagi

Gambar: Natipah Abu

Seawal jam dua pagi, Puan Suzie sudah bangun untuk memasak nasi. Dengan 12 kilogram beras setiap hari, Puan Suzie boleh membekalkan kira-kira 270  hingga 280 bungkus nasi lemak untuk diedarkan kepada peniaga gerai makan dengan harga 70 sen sebungkus.

Sekiranya habis dijual, pendapatan kasar Puan Suzie adalah sekitar RM190 ke RM200 tetapi setelah ditolak kos modal, pendapatan bersihnya hanyalah sekitar RM70 ke RM80. Itupun sekiranya habis, jika tidak habis maka tidak akan tercapai jumlah itu.

Jarang sekali beliau mencapai jumlah pendapatan jualan penuh kerana setiap hari, pasti ada nasi lemaknya yang tidak habis dijual.

Nasi tidak habis ialah dugaan yang harus diterima dengan hati yang reda kerana urusan rezeki itu milik Allah. Pernah juga dalam sehari, nasi lemaknya tidak habis sehingga 60 bungkus.

Sesudah subuh, Puan Suzie akan bermotosikal menghantar nasi lemak ke empat buah gerai yang sudi menjual nasi lemaknya.

Gambar: Natipah Abu

Teringin nak ada gerai sendiri

Puan Suzie teringin hendak memiliki gerai sendiri. Selain boleh menjual dgn harga RM1 sebungkus, dia juga tidak perlu terkejar- kejar dengan motosikal menghantar nasi lemak ke gerai-gerai itu dalam keadaan tiada lesen pun sebenarnya.

Kita sudah mengenal pasti tapak untuk menyediakan sebuah gerai nasi lemak buat Puan Suzie. Semoga dengan adanya gerai tersebut, Puan Suzie boleh mempelbagaikan lauk-pauk nasi lemaknya atau menjual nasi berlauk.

Puan Suzie hanya perlukan joran, umpan sudah pun ditangannya. Atas sebab itu maka sedekah Jumaat kita ini diniatkan untuk membantu menyediakan sebuah gerai kepada Puan Suzie Fazura Binti Arif.

Semoga dengan sumbangan kita secara berjemaah ini dapat merealisasikan hajat Puan Suzie untuk memiliki gerai sendiri.

Jumaat yang barakah. Semoga Allah SWT permudahkan urusan kita sebagaimana kita mempermudahkan urusan orang lain.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Ingin bantu Puan Suzie?

Bersempena hari Jumaat yang mulia ini, moleklah juga kalau kita ringankan tangan menghulur sedekah seberapa cuma.

Berapa nilainya, terpulanglah mengikut kemampuan. Yang penting, keikhlasan dan keprihatinan kita untuk membantu Puan Suzie keluar daripada kemelut sukar dan mampu ‘berdiri’ atas gerainya sendiri.

Justeru, bagi sesiapa yang ingin menyumbang, sumbangan boleh disalurkan kepada Puan Natipah seperti berikut:-

Nombor akaun: 5521 0761 7521‬
Bank: Maybank
Nama: Natipah Abu

Selamat beramal.

Sumber: Natipah Abu

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'