Biasanya kita dengar kisah orang yang meragut, namun di Bali, Indonesia, monyet pun pandai ‘meragut’. Malah, mereka dipercayai boleh membezakan antara barangan bernilai tinggi dengan barangan yang tidak berharga untuk dijadikan pertukaran dengan makanan. Ish, biar betul monyet ni?
Menurut hasil kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Lethbridge, Kanada dan Universiti Udayana, Indonesia, mereka mendapati monyet-monyet lebih memilih barangan mahal seperti barangan elektronik dan mengabaikan beg kosong yang tidak berharga.

Dalam kajian yang dibiayai oleh Natural Sciences and Engineering Research Council of Canada (NSERC), sepasukan penyelidik telah meluangkan 273 hari di Kuil Uluwatu dan Hutan Monyet Ubut, iaitu kawasan yang terkenal dengan kes gangguan monyet.
Sepanjang tempoh itu, mereka telah merekodkan lebih 2,000 interaksi antara monyet dan pelancong di mana haiwan itu dikatakan meragut barangan berharga daripada pengunjung yang terleka.

Telefon, dompet dan cermin mata adalah antara barangan bernilai yang sering menjadi sasaran monyet di sana.
“Monyet-monyet ini telah menjadi pakar dalam meragut pengunjung yang terleka dan tidak mendengar arahan staf kuil yang menyarankan mereka menyimpan barangan berharga di dalam beg berzip yang diikat pada leher dan belakang,” kata Dr Jean-Baptiste Leca, Profesor Madya Jabatan Psikologi Universiti Lethbridge.
Barangan yang diragut akan dikembalikan sebaik monyet berkenaan menerima ganjaran makanan seperti telur mentah, buah-buahan dan keropok, bergantung kepada nilai ganjaran tersebut.
Bagi barangan yang bernilai lebih rendah, monyet-monyet di sana akan menerima ganjaran yang lebih murah.
Penantian paling lama untuk mendapatkan kembali barangan yang ‘diragut’ adalah 25 minit, termasuk 17 minit rundingan, tulis Daily Star.
Menurut kajian berkenaan, sikap itu dipercayai telah dipelajari spesies berkenaan sejak usia kecil sehingga mereka menjejak empat tahun.

Sumber: Daily Star