Siakap Keli

“Macam Kena Tumbuk Kuat Dekat Muka”, Luah Klopp Selepas Liverpool ‘Tersungkur’ Di Anfield

Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp menganggap kekalahan skuad kendaliannya kepada Burnley di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris pagi tadi seperti menerima ‘tumbukan yang kuat di muka’.

Menurut laporan ESPN, kekalahan berkenaan juga menyaksikan rekod tanpa kalah 68 perlawanan di Anfield lebur setelah kali terakhir Liverpool tewas kepada Crystal Palace pada April 2017.

”Kami kalah dalam perlawanan yang saya rasakan mustahil untuk kami kalah tetapi itu yang terjadi. Sudah pasti, ia adalah kesalahan saya kerana sudah menjadi tanggungjawab jurulatih untuk memastikan pemain bersedia dan mempunyai keyakinan untuk membuat keputusan yang tepat.

”Liverpool menguasai bola dan kami mencipta situasi yang awalnya nampak baik tetapi beberapa keputusan akhir menukar situasi menjadi sebaliknya. Kami perlu menghantar bola ke kawasan yang tepat dan nampaknya ia tidak menjadi.

”Saya sebut perkara yang sama minggu lepas. Masalahnya ada sesuatu yang tidak kena, jadi kami perlu berusaha lebih gigih dan membuat keputusan yang lebih tepat.

”Tetapi itu tidak berlaku malam ini, saya mengakuinya. Tiada alasan lain lagi dan itulah punca kenapa kami tewas,” kata Klopp seperti dilaporkan Daily Mail.

”Macam mana kami boleh tewas malam ini? Tetapi hakikatnya kami kalah dan kami menjadi puncanya sendiri. Ia salah kami, bermakna ia adalah salah saya.

”Ia sentiasa menjadi salah saya kerana jika ada perancangan yang diatur tetapi tidak menjadi, ia adalah salah saya. Kami sudah bekerjasama untuk masa yang lama,” katanya lagi.

Liverpool menguasai 72 peratus perlawanan dan mencipta sebanyak 27 percubaan, tetapi dikecewakan dengan penalti lawan pada 10 minit terakhir perlawanan.

Penyandang juara itu memiliki peluang cerah untuk mendahului perlawanan di separuh masa pertama, namun penyudah tidak kemas Divock Origi hanya mampu menggegar palang, ketika dia berdepan situasi 1 lawan 1 dengan penjaga gol pasukan lawat.

”Kami boleh menjaringkan gol pendahuluan tetapi peluang itu disia-siakan. Gol itu boleh memberi perbezaan kepada pasukan pelawat.

”Mereka tidak hadir ke sini untuk kalah dan mereka melihat peluang itu ada. Perkara seperti penalti itu perkara biasa dalam perlawanan.

”Bukannya kami tidak mencipta peluang tetapi beza pemain yang baik dengan pemain yang benar-benar baik adalah keputusan yang dibuat di atas padang. Itulah hakikatnya”.

Ketika diajukan tentang perlumbaan merebut trofi kejuaraan EPL, Klopp berkata Liverpool tidak boleh membayangkan mengenai perkara itu buat masa ini.

Sumber: ESPN, Daily Mail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.