Siakap Keli

Perniagaan Jatuh & Dibuang Kerja, Grup SMAHI Tekad Bantu Sumbang Barang Dapur Untuk ‘Encik Suami’ Terjejas

Ketika musim pandemik COVID-19 ini, apa yang sangat menguji kesabaran ialah ujian kejatuhan ekonomi yang teruk.

Bagi yang masih berpeluang bekerja, Alhamdulillah. Namun ada antara kita yang terbatas sumber pencariannya hingga menyebabkan dapur tidak ‘berasap’ lagi.

Apalah lagi kekuatan seorang ayah apabila melihat isteri yang kepenatan menjaga rumah, terlihat pula raut wajah anak-anak kecil yang sayu kelaparan.

Tidak dinafikan, golongan ayah-ayah inilah antara kelompok yang teruji mental mereka tentang kewangan keluarga ketika tempoh mendesak ini.

Atas dasar tanggungjawab dan nilai persaudaraan ‘brotherhood’, geng Suami Masak Apa Hari Ini (SMAHI) dengan pantas tampil menghulurkan tangan.

Gambar: SMAHI
Gambar: SMAHI

SMAHI dengan kerjasama syarikat e-dagang, Vettons menjalankan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) berupa misi bantuan sumbangan kepada keluarga ahli-ahli SMAHI yang terjejas ekonominya ketika COVID-19 ini.

Pengasas SMAHI, Mohd Salleh Ab Hamid berkata, misi bantuan ini tercetus kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kembali dikuatkuasakan sedikit sebanyak memberi impak terhadap ekonomi keluarga.

“Apabila PKP 2.0 dilaksanakan, banyak kekangan dikuatkuasakan dan kami sedar pasti ada sahabat-sahabat kami, sama ada suami atau bakal-bakal suami yang terkesan.

“Kami faham situasi ini dan SMAHI bersedia menghulurkan bantuan di mana dengan kerjasama Vettons, kami memperuntukkan kotak-kota yang berisi barangan asas makanan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Gambar: SMAHI
Gambar: SMAHI

Difahamkan, sudah 38 orang warga SMAHI yang telah menerima sumbangan bantuan tersebut setakat ini, rata-rata mereka menetap di sekitar Lembah Klang.

Jelas Salleh, antara yang memohon bantuan tersebut adalah daripada mereka yang terjejas pendapatannya ketika PKP ini, selain perniagaan yang jatuh merudum.

Tidak kurang juga, ada yang telah dibuang kerja hingga hilang sumber pencarian utama buat keluarga.

Malah ada juga permohonan bantuan daripada warga SMAHI yang dijangkiti COVID-19, sekaligus merencatkan rutin harian termasuk urusan mencari rezeki.

Bagaimanapun, permohonan bantuan ini tertakluk pada syarat-syarat tertentu yang dikenakan.

“Syaratnya ialah pendapatan mestilah di bawah RM1,000 dan pendapatan terjejas disebabkan dibuang kerja atau sebab-sebab lain yang munasabah.

“Pihak SMAHI akan menghubungi pemohon untuk sesi soal selidik bagi tujuan kelulusan,” katanya lagi.

Gambar: SMAHI
Gambar: SMAHI

Menurutnya, bantuan barangan asas yang disumbangkan ialah barangan memasak seperti beras, stok sardin, biskut, minuman Milo dan lain-lain.

Jumlah keseluruhan barangan tersebut bagi satu-satu kotak adalah bernilai RM50.

Setiap kotak yang disumbangkan akan diedar kepada penerima yang layak melalui perkhidmatan syarikat penghantaran (courier), City Link.

Ekoran itu, setelah bantuan tiba di rumah, ramai warga SMAHI berkongsi momen indah menerima bantuan tersebut, diselangi ucapan penghargaan yang tidak terhingga.

Salah seorang warga SMAHI yang layak menerima bantuan ini ialah Awang Hasril Samail. Isterinya, Faidza Mokhtar memuat naik gambar barangan tersebut dalam satu hantaran di Facebook.

“Tiba-tiba courier City Link datang rumah. Tanya suami, barang apa sampai, besar betul ni. Suami pun jawab tak tahu. Sekali buka, dapat bantuan makanan. Rupanya suami cuba mohon. Alhamdulillah rezeki masa PKP kali ni. Kali pertama dapat bantuan..” katanya dalam hantaran tersebut.

Hantaran tersebut menerima maklum balas positif daripada rakan-rakan Facebook serta warga SMAHI sendiri.

Mereka kagum akan nilai persaudaraan, ukhwah dan keprihatinan yang kuat dalam kalangan ‘encik suami SMAHI’ ketika pandemik ini.

Cara memohon bantuan & ingin menyumbang

Bagi warga SMAHI yang terasa memerlukan bantuan ini, bolehlah buat permohonan seperti yang dinyatakan dalam pautan INI.

Manakala bagi mana-mana warganet yang berbesar hati mahu berkongsi rezeki, bolehlah menyalurkan sumbangan anda melalui aplikasi Vettons yang boleh dimuat turun di Google Play Store mahupun App Store.

“Bagi saudara-saudara yang ingin menyumbang kepada inisiatif ini pula, anda boleh membuat pembelian kotak-kotak tersebut di platform Vettons pada harga yang sangat mampu milik.

“Citylink Express yang juga merupakan rakan kolaborasi SMAHI akan hantarkan kotak keceriaan ini kepada penerima-penerimanya. Semuanya akan kami uruskan,” kata Salleh lagi.

Di bawah ini ialah contoh paparan SMAHI Care Package yang anda boleh sumbangkan nanti.

Marilah bersama-sama membantu SMAHI menyebarkan lagi manfaat buat ‘abang-abang’ kita yang terjejas di luar sana.

Bersempena hari Jumaat ini, maka ‘moleklah’ juga kalau kita ringankan hati bersedekah kepada mereka melalui platform Vettons seperti yang dinyatakan tadi.

Semoga persaudaraan kita terus utuh. Walau berbeza agama, bangsa dan warna kulit, kita tetap SMAHI. Brother jaga brother!

Sumber: SMAHI / Salleh

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'