Siakap Keli
Kredit: Google

Sah Ke Nikah Poligami Tanpa Izin Kadi? Ini Penjelasan Dr. MAZA

Bagi sebahagian orang lelaki, poligami mungkin menjadi perkara yang membanggakan kerana mampu membahagi kasih kepada dua isteri dalam satu masa.

Namun, bagaimana pula status poligami yang tidak ada keizinan daripada jurunikah ataupun kadi?

Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Asri (Dr. MAZA) telah membahaskan isu ini dengan panjang lebar menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Jom ikuti perkongsian ini.

Sahkah nikah poligami tanpa izin kadi?

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

Lebih kurang 11 tahun yang lepas, soalan tentang hal ini pernah ditanyakan kepada saya. Saya telah menjawab hal tersebut. Hari ini isu ini dibangkitkan lagi. Sejak dahulu, sesiapa yang membaca artikel saya akan tahu, saya sentiasa mempertahankan hak wanita dan menentang suami yang zalim dan tidak bertanggungjawab. Sesiapa yang berjuang menentang suami yang zalim, saya sepenuh jiwa menyokong. Samada suami monogami atau poligami.

Malangnya, kebelakangan ini ada pihak yang kononnya ingin menentang apa yang mereka namakan ‘scam’ yang disandarkan kepada peruntukan syarak iaitu poligami lalu mereka panggil ‘scam poligami’. Slogannya macam ingin menentang suami yang tidak ikut peraturan tetapi kelihatan halatujunya cuba menjadikan poligami sebagai konotasi buruk dalam kehidupan.

Aliran seperti itu amat bahaya. Mereka cuba berlapik bagi menjaga sensitiviti umat Islam, tetapi dalam kempen mereka ada racun memberikan gambaran buruk terhadap hukum syarak. Mereka cuba menafikan menentang hukum, tetapi jika kita lihat kesimpulan argumentasi mereka ialah ke arah menutup pintu poligami dan menjadikan mengamalnya di ‘kandang orang salah’.

Bahkan, mereka juga kadangkala menjadi ‘batu api’ bagi menegangkan hubungan rumahtangga mereka yang berpoligami. Hasutan mereka boleh menimbulkan dendam dalam jiwa isteri-isteri pertama. Padahal banyak ruang yang mendamaikan yang wajar dilakukan. Bagi mereka yang muslim, hendaklah berhati-hati dengan hal ini kerana berkempen dengan nada ini dibimbangi membawa anda ke jalan yang salah.

Di sini, saya letakkan kembali jawapan saya 11 tahun lepas tentang isu ini;

Soalan: Apakah hukum seseorang yang berpoligami tanpa keizinan isteri ataupun kadi. Mereka ini berkahwin di luar negara. Syarat kahwin mereka memang cukup tapi isteri pertama tidak setuju dan keizinan kadi tempatan juga tidak diminta. Apakah sah perkahwinan mereka? Apakah jaminan dia mampu adil?

Jawapan Dr. MAZA:

1. Poligami adalah peruntukan yang berikan oleh syarak kepada lelaki. Dengan peruntukan tersebut lelaki boleh mengahwini wanita lebih daripada seorang dan tidak melebihi empat orang. Ia bukan satu kewajipan, tetapi satu keizinan syarak.

Adalah menjadi kewajipan bagi setiap muslim beriktikad bahawa hukum-hakam syarak yang diturunkan Allah S.W.T bukan untuk kepentingan zatNya yang agung, kerana Dia Maha Suci daripada bergantung kepada makhluk. Segala apa yang diturunkanNya adalah li maslahah al-`Ibad iaitu untuk kemaslahatan atau kepentingan hamba-hambaNya.

Kata al-Imam `Izz al-Din `Abd al-Salam (meninggal 660H): dalam Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam:

“Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa yang diperolehi hasil dari masaqqah tersebut. Ini sama seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati”.

(Izz al-Din `Abd al-Salam, Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 1/29, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

2. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:

“Inilah apa yang diraikan oleh syariat Islam dalam persoalan poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudian ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya):“Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”.

(Al-Qaradawi, Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah, m.s 133-134. Mesir: Maktabah Wahbah)

3. Suami yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai suami ketika beristeri seorang sudah pasti lebih tidak mampu jika berlaku tambahan isteri. Maka, suami seperti itu haram dia berpoligami kerana hanya akan membawa kepada kezaliman.

4. Keadilan merupakan syarat yang Allah letakkan atas bahu suami untuk adil antara isteri melainkan jika ada isteri yang menarik haknya seperti isteri Nabi s.a.w Saudah binti Zam’ah yang memberikan hak giliran harinya kepada ‘Aishah. Riwayat Aishah menyebut:

مَا رَأَيْتُ امْرَأَةً أَحَبَّ إِلَيَّ أَنْ أَكُونَ فِي مِسْلَاخِهَا مِنْ سَوْدَةَ بِنْتِ زَمْعَةَ، مِنِ امْرَأَةٍ فِيهَا حِدَّةٌ، قَالَتْ: فَلَمَّا كَبِرَتْ، جَعَلَتْ يَوْمَهَا مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعَائِشَةَ، قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، قَدْ جَعَلْتُ يَوْمِي مِنْكَ لِعَائِشَةَ، «فَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقْسِمُ لِعَائِشَةَ يَوْمَيْنِ، يَوْمَهَا وَيَوْمَ سَوْدَةَ»

“Aku tidak dapati seorang wanita berkesungguhan yang paling aku suka menjadi sepertinya lebih daripada Saudah binti Zam’ah”. Apabila dia sudah tua dia berikan giliran harinya bersama Rasulullah s.a.w untuk ‘Aishah. Kata Saudah: “Wahai Rasulullah! Aku berikan giliranku bersamamu kepada ‘Aishah”. Maka Rasulullah s.a.w menjadikan untuk ‘Aishah dua hari; satu harinya sendiri dan satu lagi hari Saudah”. (Riwayat Muslim)

Maka jika ada isteri menarik hak kesamaan dalam pemberian harta ataupun giliran hari maka tidak mengapa jika suami tidak membahagikannya secara adil. Namun penarikan hak itu hendaklah dengan pilihan isteri, bukan paksaan.

5. Sebenarnya, kecuaian dan kezaliman rumah tangga tidak berfaktor dari poligami. Bahkan ia berfaktorkan sikap suami itu sendiri. Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili:

“Bukanlah poligami yang menyebabkan anak-anak terbiar seperti yang didakwa mereka. Sebaliknya berpunca dari pengabaian bapa terhadap pendidikan anak-anak, mabuk arak, ketagihan dadah, tenggelam dalam nafsu, berjudi, berulang-alik ke kedai kopi, pengabaian keluarga dan lain-lain”.

(Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/173, Beirut: Dar al-Fik)

6. Kecuaian terhadap isteri berpunca dari sikap, bukan berpunca dari poligami. Itulah sebab kita lihat ramai suami yang monogami tetapi tetap menzalimi isteri dan anak-anak. Jika dia berpoligami maka keadaan lebih teruk. Haram lelaki zalim seperti itu berpoligami.

7. Ada sesetengah pihak mentafsirkan ayat Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 129:

وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ

(maksudnya) “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya)”.

Kata mereka ayat ini membatalkan apa yang disebut dalam ayat 3 dalam surah yang sama:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

(maksudnya): “Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”.

Sebenarnya dakwaan ini secara tidak langsung seakan tohmahan terhadap Nabi s.a.w., para sahabah dan generasi para ulama Islam sejak dahulu seakan-akan mereka semua tidak memahami al-Quran sehingga mengharuskan poligami untuk diri mereka dan umat.

8. Sebenarnya, ayat 129 Surah al-Nisa’ itu membicarakan tentang keadilan mutlak yang tidak mungkin dapat diberikan oleh insan. Keadilan mutlak membabitkan semua aspek; perasaan kasih sayang yang ada di dalam perasaan, cara hubungan seks dan segalanya. Ini semua bukan dalam batas kemampuan insan. Sehinggakan insan tidak mampu menjadikan kadar kasih sayangnya terhadap anak-anaknya sama, demikian jugalah terhadap isteri-isterinya. Bagi anak yang lebih manja dan pandai mengambil hatinya tentu perasaan cintanya lebih. Demikian juga isteri.

9. Namun apa yang dituntut oleh Islam ialah agar persoalan akhlak pergaulan dan sikap, persoalan kebendaan hendaklah dalam timbangan keadilan dan kesaksamaan kerana itu dalam batas kemampuan insan. Tidak boleh dijadi perasaan cinta di dalam hati membawa kepada ketidakadilan dalam tindakan. Oleh itu sambungan ayat itu menyebut:

فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِنْ تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا

(maksudnya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

10. Nabi s.a.w menyebut dalam hadis:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْسِمُ فَيَعْدِلُ وَيَقُولُ اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ. قَالَ أَبو دَاود يَعْنِي الْقَلْبَ

Daripada `Aisyah R.A: Bahawa Nabi S.A.W membahagikan hak di antara isteri baginda dengan adil. Baginda bersabda: Ya Allah inilah pembahagianku apa yang miliki, jangan Engkau salahku dalam apa yang aku tidak miliki. Kata Abu Daud -ketika meriwayat hadis ini – (maksud apa yang aku tidak miliki) ialah jantung hati.

(Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Hakim mensahihkannya dalam Al-Mustadrak)

Maksudnya cinta dan kecenderungan jantung hati tidak mampu dimiliki dan ditentukan keadilan pembahagiannya.

11. Maka kecenderungan hati yang menyebabkan tidak sama dalam rasa kasih sayang tidak dianggap salah di sisi Allah selagi mana ia tidak diterjemahkan menjadi ketidakadilan itu dalam bentuk tindakan. Inilah maksudnya ayat tersebut.

Al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) ketika menafsirkan ayat 129 Surah al-Nisa tadi menyebut:

“Dalam ayat tersebut Allah memberitahu ketidakmampuan melakukan keadilan di antara isteri dalam kecenderungan tabii seperti cinta, hubungan seks dan perasaan dalam jantung hati. Maka Allah mensifatkan hal manusia bahawa mereka dengan sifat semulajadinya tidak dapat mengawal kecenderungan jantung hati mereka kepada sesuatu perkara atau sebaliknya…kemudian Allah melarang manusia dengan firmanNya: (maksudnya) “janganlah kamu cenderung dengan melampau” yakni jangan kamu sengaja menyakiti, sebaliknya hendak sama rata dalam pembagian dan nafkah, kerana ini perkara yang seseorang mampu melakukannya”.

(Al-Qurtubi , Al-Jami li Ahkam al-Quran 5/407. Beirut: Dar al-Fikr)

12. Adapun pandangan yang mensyaratkan keizinan isteri pertama atau kadi atau mahkamah syariah bagi sesiapa yang ingin berpoligami adalah sesuatu yang bersifat pentadbiran tetapi bukanlah syarat sah perkahwinan. Ertinya, dari segi syarak sah perkahwinan tersebut apabila cukup rukun nikah sekalipun tanpa keizinan kadi.

13. Para ulama kontemporari ramai juga yang membantah meletakkan syarat poligami pada keizinan kadi. Masalah keadilan suami adalah sesuatu yang tidak dapat dinilai sebelum perkahwinan berlaku. Bagaimanakah mungkin seseorang kadi atau sesuatu pihak dapat mendakwa bahawa si pulan jika beristeri dua tidak akan adil? Bagaimanakah pula seseorang dapat memutuskan si pulan yang lain jika beristeri dua adil? Bahkan ada orang yang disangka adil tetapi ternyata sebaliknya.

14. Jika si suami mempunyai rekod ketidak mampuan nafkah, kecuaian ataupun kezaliman ke atas isteri yang sedia ada maka tindakan hendaklah diambil sejak awal lagi bukan menunggu poligami. Kadi hendaklah memberi ruang untuk si isteri menuntut fasakh dan menghukum kecuaian ataupun kezaliman suami. Mahkamah yang menyukarkan isteri menuntut fasakh adalah punca kezaliman rumah tangga berterusan, samada dalam kes monogami ataupun poligami.

15. Sikap adil atau bertanggungjawab terhadap isteri bukan hanya kepada yang berpoligami tetapi juga kepada yang beristeri satu (monogami). Kalau hak ini diberikan kepada kadi maka nanti yang ingin berkahwin satu juga akan dinilai oleh kadi sama dia boleh bertanggungjawab atau tidak. Kemudian nanti yang ingin menambah anak atau memperolehi anak juga akan dinilai dia mampu atau tidak? Apakah kita lupa, ramai yang berubah menjadi lebih cemerlang selepas perkahwinan, atau rezeki semakin bertambah selepas bertambah bilangan anak.

16. Sebab itulah Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah (Islamic Research Assembly) pada muktamarnya yang kedua di Kaherah tahun 1975 membuat keputusan seperti berikut:

“Adapun berhubung dengan poligami, maka pihak muktamar memutuskan bahawa ia adalah harus dengan jelasnya berdasarkan nas-nas al-Quran al-Karim juga dengan syarat-syarat yang berkaitan dengannya. Adapun penggunaan hak ini adalah terpulang kepada pihak suami, ia tidak memerlukan keizinan kadi”.

17. Tokoh fekah zaman ini, Dr. Abd al-Karim Zaidan menyebut di dalam bukunya Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah:

“Aku melihat tidak harus dari segi syarak memberikan kelayakan berpoligami ditentukan kadi, atau mengaitkan keharusan berpoligami dengan izin kadi.” Kata beliau juga: “Antara bukti yang menyokong keputusan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah di atas ialah tidak pernah disebutkan kepada kita pada mana-mana zaman Islam, sejak Rasulullah s.a.w sehingga ke zaman selepasnya bahawa sesiapa daripada kalangan fuqaha (ulama feqah) mensyaratkan keizinan kadi untuk sesiapa yang ingin berpoligami. Kalaulah syarat ini disyariatkan maka sudah tentu kitab-kitab fekah dan kehakiman menyebut berlakunya atau cadangan mengenainya. Apabila ia tidak menyebut hal ini sedikit pun, maka inilah dalil yang putus terhadap ijma’ sukuti (ijmak secara diam) mengenai tidak dikaitkan keharusan berpoligami dengan keizinan kadi. Maka cadangan untuk itu sekarang ini adalah memecahkan ijmak”

(‘Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah المفصل في أحكام المرأة, 6/294. Beirut: Muassasah al-Risalah).

18. Dr Wahbah al-Zuhaili juga membantah pandangan yang mensyaratkan izin kadi ini dengan memberikan beberapa hujahnya di dalam al-Fiqh al-Islami. Sila yang ingin pendetilan rujuk di bawah tajuk الدعوة إلى جعل تعدد الزوجات بإذن القاضي (Seruan Kepada Dijadikan Keiizinan Berpoligami Dengan Izn Kadi). Antara tokoh lain ialah Dr.Muhammad `Uqlah dalam bukunya Nizam al-Usrah fi Al-Islam yang menganggap syarat keizinan kadi sebagai pemikiran yang bid`ah dan boleh membawa kepada hubungan zina.

19. Jika ternyata suami tidak adil, maka isteri boleh mengangkat kes kepada kadi dan boleh menuntut fasakh.

Sumber: Dr. MAZA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'