Siakap Keli

Gangguan Bekalan Air Libatkan 32,018 Akaun Di Kelantan

KOTA BHARU, 22 Jan – Sebanyak 32,018 akaun akan mengalami gangguan bekalan air melibatkan beberapa kawasan merangkumi empat jajahan dijangka bermula hari ini hingga 30 Jan, menurut Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

AKSB dalam satu notis hebahan hari ini memaklumkan daerah terlibat ialah Machang yang membabitkan 16,000 akaun, Pasir Puteh (9,539), Kota Bharu Selatan (5,979) dan Kota Bharu Timur (500).

Notis itu menjelaskan gangguan tersebut disebabkan berlaku kebocoran paip air mentah di Kampung Pulai Chondong, Machang, semalam.

Susulan itu, pihaknya menutup sementara waktu operasi Medan Telaga Sungai Bagan yang melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, di Machang.

“Pihak AKSB dalam perancangan teliti untuk menggantikan saluran paip tersebut secara berjadual dan dijangka mengambil tempoh bermula hari ini hingga 30 Jan.

“Namun, ia bergantung kepada situasi di tapak dan AKSB akan memaklumkan status perkara ini dari semasa ke semasa,” menurut notis itu.

Pengguna boleh menghubungi Pusat Informasi dan Talian Aduan (PINTAS) di talian 15777 atau WhatsApp 0195755777 atau muat turun aplikasi MyAKSB untuk maklumat lanjut.

— BERNAMA