Siakap Keli
Gambar: Mirror

Wanita Menderita Kulit Melecur Setelah Suami Didakwa Tuang Air Panas Kerana Kejutkannya Dari Tidur Untuk Bersarapan

Niat untuk menjamu suaminya sarapan di atas katil selepas bangun daripada tidur bertukar tragedi apabila suami kepada wanita itu didakwa menuang air panas ke atas isterinya kerana mengejutnya bangun dari tidur, lapor Mirror

Tertuduh yang berumur 28 tahun itu telah didakwa menuang air panas ke atas isterinya yang berusia 23 tahun kerana berang dikejutkan daripada tidur, lapor Mirror.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa kejadian itu berlaku di rumah pasangan tersebut yang terletak di bandar Konya, Turki pada 9 Januari lalu.

Wanita tersebut telah berkongsikan gambar berkenaan kecederaan yang dialaminya dari wad hospitalnya.

Bahagian belakang badannya dapat dilihat kemerahan dan melecur akibat daripada insiden itu.

Lelaki tersebut dilaporkan sedang berada dalam tahanan polis selepas orang ramai berang dengan keputusan mahkamah yang membebaskannya dengan jaminan polis.

Pasangan tersebut telah berkahwin selama lima tahun, lapor media Turki.

Bercakap daripada hospital di mana dia dirawat kerana kecederaannya itu, wanita tersebut menyatakan bahawa niatnya hanyalah mahu membuat kejutan dengan membawakan sarapan buat suaminya untuk bersarapan di atas katil sejurus dia bangun daripada tidur.

Walau bagaimanapun, ketika dia mengejutnya daripada tidur, suaminya itu tiba-tiba naik berang kerana suaminya itu tidak dibenarkan untuk berbaring seketika dan mulai menjerit kepadanya, dakwa wanita tersebut.

Dia berkata: “Saya telah menyiapkan semuanya dan kemudian memberitahu kepada suami saya bahawa sarapan telah tersedia di katil.

“Dia marah dan menuntut untuk mengetahui mengapa saya mengejutnya, serta memberitahu kepada saya untuk tidak menganggunya, jadi saya pun mula bersarapan dengan anak perempuan saya.

“Dia masih dalam mood yang tidak baik dan menyatakan kepada saya bahawa dia akan menceraikan saya dan mendapatkan hak jagaan anak perempuan kami tidak kira apa yang bakal saya lakukan.”

“Dia kemudian menuangkan air panas ke bahagian leher saya. Dia mahu menuang ke wajah saya namun saya berpaling,” tambahnya.

“Saya melarikan diri pada ketika itu baju T-shirt saya mula melekat pada kulit saya. Dia kemudiannya mencampakkan sisa air panas itu ke arah saya, sebahagiannya mengenai kaki anak saya dan selebihnya mengenai bahagian pinggul saya.

“Saya nak melarikan diri, tetapi saya pengsan akibat daripada kesakitan yang dialami. Ketika saya datang, saya dapat mendengar anak perempuan saya berteriak dan kemudian saya dapat merasakan dia memegang rambut saya dan menheret saya ke tandas.”

Wanita tersebut menyatakan bahawa suara anak perempuannya menangis memberikan ‘kekuatan tambahan’ kepadanya.

Ketika suaminya itu menghubungi bapanya, dia telah mengambil kesempatan itu untuk lari ke rumah jirannya yang kemudiannya memberikan perlindungan kepadanya dan terus menghubungi pihak polis, yang menyebabkan suaminya itu terus ditahan.

Walau bagaimanapun, dia terus berasa takut selepas dia mengetahui bahawa suaminya itu dibebaskan dengan jaminan.

Pembebasan tersebut telah menimbulkan kemarahan kepada masyarakat di Turki, dan disebabkan daripada itu lelaki tersebut telah ditangkap semula dan diletakkan dalam tahanan polis.

“Sukar untuk saya mempercayainya, selagi dia dibebaskan, saya dan anak perempuan saya akan berada dalam bahaya,” kata wanita terbabit.

Sumber: Mirror

Aqmal Ezany

I write what is right