Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pengagihan Bantuan Makanan Kepada 8,320 Penerima Di DUN Nangka Bermula Hari Ini

SIBU, 24 Jan — Pengagihan bantuan bekalan makanan oleh kerajaan negeri kepada 8,320 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka di sini, yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula dengan baik hari ini.

Tinjauan Bernama di stesen-stesen pengagihan di bandar Sibu, iaitu di Dewan LAKIS (Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu), Dewan MMB (Melayu Melanau Bersatu), masjid lama Kampung Bahagia Jaya Teku, Dewan Serbaguna kawasan Iban Teku, Dewan Serbaguna Kampung Jariah dan Dewan MUC berjalan lancar.

Prosedur operasi standard (SOP) PKP yang ketat juga diutamakan semasa proses pengagihan berlangsung apabila penerima yang datang seawal jam 7.30 pagi berbaris dengan mematuhi penjarakan fizikal termasuk mengimbas suhu badan mereka.

Stesen pengagihan itu dibuka dari 8 pagi hingga 4.30 petang dan pengagihan bantuan itu dijangka selesai Selasa depan.

Penduduk di kawasan DUN Nangka boleh menghubungi pusat agihan di talian 016-9747875 dan 016-9747876 sekiranya nama mereka tidak tersenarai sebagai penerima bantuan tersebut.

Sementara itu, pengagihan bantuan makanan kepada 34 rumah panjang dalam DUN Nangka yang dikendalikan stesen pengagihan di Dewan LAKIS juga dimulakan awal pagi ini melibatkan 932 penerima.

Menurut Sekretariat Luar Bandar DUN Nangka, Mohamad Khir Ibrahim, penghantaran bantuan makanan ke rumah panjang berkenaan dilakukan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Kerajaan negeri Sarawak pada 20 Jan lalu, telah mula mengedarkan bantuan makanan kepada 73,000 isi rumah di Bahagian Sibu yang terjejas akibat pelaksanaan PKP selama dua minggu bermula 16 Jan.

Jumlah keseluruhan bantuan makanan yang ditanggung kerajaan negeri adalah RM5.1 juta.

Bantuan makanan yang setiap satunya bernilai RM70 akan mengandungi 10 kilogram (kg) beras, 2kg gula, 1kg tepung, dua tin besar ikan sardin, sepeket teh atau kopi, 2kg minyak masak, sepeket biskut dan sepeket mee segera.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right