Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea secara rasminya mengesahkan bahawa pengurus pasukan, Frank Lampard dipecat hari ini.
Bekas pemain kelab itu ‘terpaksa’ meninggalkan bangku pengurus yang akan digantikan dengan bekas pengurus Borussia Dortmund dan Paris St. Germain (PSG), Thomas Tuchel.
“Ini adalah keputusan yang sangat sukar dan tiada seorang pun daripada pemain mahupun pengurusan mengambil ringan tentangnya.
“Kami sangat berterima kasih kepada Lampard terhadap segala sumbangannya sepanjang memimpin kelab ini.
“Bagaimanapun, keputusan serta prestasi pasukan akhir-akhir ini tidak seperti yang dijangka; (Lampard) meninggalkan kelab ketika pertengahan tanpa sebarang peningkatan,” umum Chelsea dalam satu kenyataan, memetik laporan The Guardian.
Meskipun keputusan tersebut berat, namun ia terpaksa dibuat demi masa depan Chelsea dalam arena bola sepak.
“Tidak akan pernah ada waktu yang tepat untuk terpisah dengan legenda kelab seperti Lampard, tetapi setelah pertimbangan demi pertimbangan yang panjang, maka kami memutuskan untuk perlu membuat perubahan sekarang untuk memberi masa kepada kelab meningkatkan (semula) prestasi musim ini,” tambah kenyataan itu lagi.
Lampard ialah antara pemain yang kekal lama bermain dengan Chelsea, bermula 2001 sehingga 2014 sebelum berhijrah ke Manchester City dan New York City.
Semalam, Chelsea berjaya menumpaskan Luton 3-1 dalam saingan piala FA, namun ia tidak cukup untuk ‘menyelamatkan’ Lampard dalam gelora prestasinya mengemudi kelab.
Untuk rekod, Chelsea kini menduduki tempat kesembilan dalam saingan EPL.
Sumber: The Guardian