Bagi pemilik kucing, perkara yang perlu dijaga selalu adalah kebersihan luar dan dalam rumah. Ini kerana jika anda biarkan kucing di dalam rumah tanpa dijaga, ia akan bertindak untuk membuang najis merata-rata dan meninggalkan bau yang kurang menyenangkan. Justeru, ini menyebabkan rumah anda kelihatan kotor dan berbau tidak enak.
Oleh itu, walaupun anda menjaga dan membela kucing dengan jumlah yang banyak, ia tidak menjadi masalah sekiranya anda sentiasa membersihkan rumah dan tidak membiarkan ia dikotori dengan najis atau bulu haiwan kesayangan anda.
Bagi pemilik kucing, anda boleh ikut enam tips ini bagi mengekalkan rumah sentiasa bersih.
(1) Guna sarung tangan getah
Jika anda lihat keadaan di sofa, karpet atau mana-mana tempat yang mempunyai bulu kucing yang banyak, gunakan sarung tangan getah untuk kumpulkan bulu-bulu tersebut. Sarung tangan getah dikatakan mampu menghilangkan bulu kucing yang mudah terlekat kerana ia mempunyai cas statik yang mudah membuang bulu tersebut. Sarung tangan getah juga senang untuk dibersihkan.
(2) Serbuk penaik
Serbuk penaik mampu menghilangkan kotoran dan menghilangkan bau yang kuat. Caranya, anda perlu sapukan serbuk penaik ke tempat yang agak berbau atau kotor, tunggu dalam beberapa minit kemudian anda akan dapat hasilnya. Bau dan tempat yang kotor akan kembali bersih dan segar.
(3) Vakum rumah
Jika rumah anda mempunyai karpet atau sofa, vakum adalah cara terbaik untuk membersihkannya. Ini kerana karpet dan sofa mudah untuk menyekat rambut atau bulu haiwan dan menyebabkan seseorang itu mendapat alahan. Pastikan anda vakum karpet di rumah di antara 3 hingga 5 kali seminggu untuk memastikan habuk atau debu sentiasa hilang.
(4) Sikat bulu kucing anda
Aktiviti sikat bulu kucing mampu mengurangkan bulu yang gugur berlebihan di sofa, lantai dan juga di persekitaran dalam rumah. Justeru, kucing anda juga akan berasa selesa jika anda kerap sikat bulunya sering gugur. Pastikan anda sikat tidak telalu kuat kerana dikhuatiri badan kucing anda akan luka.
(5) Tukar karpet atau tikar di rumah
Bagi mereka yang berkeinginan untuk membela dan menjaga kucing dalam jangka masa yang lama, seeloknya guna karpet yang mudah dicuci dan senang untuk divakum. Ini kerana terdapat jenis karpet yang mudah menyerap habuk dan bulu kucing dan menyebabkan rumah anda akan berbau.
(6) Sediakan tempat makan dan minum yang beralas
Anda mungkin perlu membersihkan setiap jam jika biarkan kucing anda makan atau minum tanpa dialas dengan apa-apa bekas atau kain. Oleh itu, semasa anda berikan kucing makan atau minum, pastikan alas dengan kain supaya mengelakkan ia tumpah dan memudahkan untuk anda mencuci dan membersihkan tempat tersebut.
Sumber : The Conscious Cat