Seorang bayi yang lahir di atas perahu ketika musim banjir sedang melanda dinamakan sebagai Siti Noor Banjiriah.
Ibu bayi tersebut, Ernawati yang berasal dari Desa Lokbaintan di Kalimantan, Indonesia berkata, rasa ingin bersalin itu muncul ketika kampungnya sedang ditenggelami banjir.
Melihat keadaannya yang semakin tidak keruan (hendak bersalin), Erna pada awalnya dibantu jiran dan bidan menaiki perahu untuk dibawa ke hospital bagi tujuan bersalin di sana.
Namun difahamkan, masa ketika itu agak suntuk. Erna tidak mampu mengawal diri apabila rahim sudah terbuka pada tahap empat dan bila-bila masa sahaja dia akan terberanak.
Detiknya sudah tiba. Baru sahaja menaiki perahu tersebut, akhirnya Erna selamat melahirkan seorang bayi perempuannya di situ juga.
“Ketika kami datang, dia sudah berada dalam keadaan pembukaan lengkap dan bersedia untuk melahirkan,” kata Afrat, salah seorang bidan yang berada di kejadian itu.
‘Bersempena’ dengan tragedi lahir di atas perahu ketika banjir, maka Erna menamakan bayi perempuannya itu dengan nama Siti Noor Banjiriah.
Bayi tersebut selamat dilahirkan dengan berat 3.3 kilogram serta 50 sentimeter panjang.
Kisah tersebut tular dan mendapat perhatian liputan-liputan media di Indonesia sebagai tragedi ‘unik’ yang mungkin tidak akan dilupakan, khususnya masyarakat setempat di sana.
Sumber: Kompas