Seorang wanita berusia 85 tahun telah mengejutkan ahli keluarganya dengan kehadirannya di rumah jagaan selepas sembilan hari dirinya dikebumikan. Kejadian tersebut didakwa berlaku atas kesilapan identiti nama pesakit.
Hal ini membuatkan keluarga wanita tersebut berasa sedih ketika mereka dimaklumkan bahawa wanita itu telah meninggal dunia akibat COVID-19 pada 13 Januari yang lalu.
Menurut laporan akhbar Sepanyol, La Voz de Galicia, jasad wanita berkenaan dikebumikan pada keesokkan harinya. Disebabkan COVID-19 yang melanda, keluarga wanita tersebut terpaksa mengikut protokol di mana mereka tidak dibenarkan hadir pada hari pengebumian.
Oleh itu, kemunculan wanita itu di rumah jagaan di Xove, utara Sepanyol pada hari Sabtu yang lalu membuatkan suaminya menangis dan terkejut, kata akhbar itu. Suaminya, Raman Blanco tidak menyangka wanita yang berkongsi bilik dengan isterinya itulah yang dilaporkan meninggal dunia.
“Saya seakan tidak percaya. Saya menangis setelah kehilangan isteri saya,” katanya.
Bagaimanapun, pengurus rumah jagaan tersebut mengatakan bahawa kesalahan itu terjadi setelah wanita itu dijangkiti COVID-19 dan didakwa dipindahkan ke rumah jagaan yang lain bersama pesakit positif yang lain.
Sumber: Mirror UK