‘Burung Sekretari’ atau secretary bird adalah spesies burung yang ditemukan di Afrika iaitu di sebelah selatan Gurun Sahara. Gaya dan penampilan burung ini seakan sama seperti bangau dan mempunyai paruh yang tajam seperti burung helang.

Kebanyakan spesies burung sekretari mempunyai dominan berwarna putih manakala bulu kaki dan sayapnya berwarna hitam. Burung ini juga memiliki bulu panjang di kepalanya dan mempunyai bulu mata yang lentik.
Disebabkan ia memiliki kaki yang panjang dan bulu yang berwarna putih, burung sekretari ini sering dikelirukan oleh orang ramai kerana kelihatan seperti bangau dan helang apabila dilihat dari jauh. Selain itu, ia mempunyai tinggi maksimum 1.5 meter dan mempunyai berat 4.3 kg. Spesies burung sekretari jantan mempunyai ukuran sedikit lebih besar dari spesies betina.
Separuh daripada kaki burung ini mempunyai bulu berwarna hitam seakan seperti memakai seluar pendek manakala bahagian kaki dibawahnya ditutupi dengan sisik dan bulu yang tidak kelihatan.
Walaupun ada sesetengah tidak dapat mengenal pasti nama asal ‘Burung Sekretari’ ini, namun ada teori yang mengatakan nama burung ini berkait dengan seseorang yang bekerja di pejabat pada abad ke-19 dan gaya penampilan burung ini seolah-olah serupa dengan seorang sekretari di pejabat. Umum mengetahui seorang sekretari memakai kot berwarna kelabu dan memakai seluar hitam dan mereka akan meletakkan pen di belakang telinga. Justeru, gaya dan ciri tersebut serupa dengan warna burung ini dan bulu yang terdapat di bahagian kepalanya.
Suka memburu dan mencari mangsa
Burung sekretari adalah satu-satunya burung yang berburu di darat dan bukannya di udara. Kebiasaanya ia suka memburu binatang seperti tikus, spesies amfibia dan reptilia.
Ia boleh bekerja dalam kumpulan kecil atau berkumpul bersama rakan-rakan yang lain. Selain itu, burung sekretari akan memburu mencari mangsa bermula dari awal pagi hingga waktu petang. Kebiasannya, apabila burung ini telah berjumpa dengan sasarannya, ia akan bertindak mematuk haiwan tersebut dengan paruh dan menggunakan kakinya yang panjang untuk menghentak, menghancurkan binatang tersebut hingga mati.
Makanan kegemaran burung sekretari ini adalah ular. Sesuai dengan nama sainstifiknya iaitu “Sagittarius serpentarius” yang bermaksud pemanah ular.
Tidak seperti spesies burung-burung yang lain, burung sekretari berburu sambil berjalan dengan santai di atas tanah. Burung ini sememangnya boleh terbang, tapi mereka jarang menggunakannya sayapnya untuk terbang.
Perlakuan sosial dan pembiakan
Burung sekretari hidup di dalam satu kelompok-kelompok yang kecil di antara 2 hingga 5 ekor. Namun, burung ini boleh didapati dengan jumlah yang banyak apabila berada di kawasan yang mempunyai banyak buruan makanan. Kelompok spesies ini biasanya terdiri daripada jantan, betina dan anak-anaknya.
Burung sekretari yang berkahwin biasanya akan membina sarang dari dahan bersama-sama di atas pokok. Mereka akan menggunakan sarang tersebut bertahun-tahun untuk membuat proses pembiakan.
Spesies burung betina akan bertelur di dalam sarang dan boleh menghasilkan telur sebanyak 2 atau 3 biji telur dalam satu masa. Sama ada jantan atau betina sama-sama akan mengeram telur tersebut secara berganti. Ketika salah satu burung mengeram telur, burung yang lain akan pergi ke luar untuk mencari makanan dan membawanya ke sarang.
Telur burung sekretari memerlukan masa selama 42 hari untuk menetas. Sama ada jantan atau betina, kedua-duanya bertanggungjawab untuk menjaga telur tersebut sehingga besar. Mereka berdua akan memberi makan anaknya dengan cara muntahkan makanan yang sudah ditelan, lalu diberi kepada anaknya.
Setelah memasuki enam minggu, burung sekretari ini tidak akan memuntahkan makanannya malah memberi makan dengan cara membawa bangkai haiwan untuk memberi anaknya makan.
Ancaman dan pemuliharaan
Perlakuan manusia terhadap pencerobohan habitat burung sekretari ini menjadikan spesies tersebut diklasifikasikan sebagai haiwan yang pupus. Beberapa kawasan persinggahan burung ini telah dibersihkan dan dibakar untuk dijadikan tempat penternakan. Oleh sebab itu, burung sekretari ini sukar untuk mencari makanan dan diancam kepupusan.
Para saintis mengatakan burung sekretari dijumpai di beberapa kawasan yang dilindungi dan luas. Namun mereka juga harus membuat penelitian dan pemantauan yang lebih untuk mengesan jumlah spesies burung sekretari dan memastikan habitat mereka masih lagi wujud atau sebaliknya.
Rujukan
(1) National Geographic (2017) Secretary birds. Sumber dipetik daripada https://www.nationalgeographic.com/animals/birds/s/secretary-bird/
(2) Rezza Dwi Rachmanta (2019) Uniknya Burung Sekretaris, Predator Kejam Tak Semanis Namanya. Sumber dipetik daripada https://www.hitekno.com/sains/2019/05/15/154500/uniknya-burung-sekretaris-predator-kejam-tak-semanis-namanya
(3) Republik Eusosialis Tawon (2017) Burung Sekretaris, Pembunuh Ular Berkaki Panjang. Sumber dipetik daripada https://www.re-tawon.com/2021/01/burung-sekretaris-pembunuh-ular-berkaki.html