Siakap Keli

Komik Popular Lawak Kampus Dilapor Bakal Dijadikan Siri Animasi Tv

Bagi anda yang mengikuti perkembangan komik tempatan, pasti sangat sinonim dengan watak Vanness, Froggy dan Aditas dalam komik Lawak Kampus, kan?

Untuk makluman anda, komik Lawak Kampus ini buat pertama kalinya akan disiarkan dalam bentuk siri animasi televisyen selepas ini.

Penerbit Eksekutif Lil Critter Workshop, Walid Omar berkata, pihaknya mendapat ‘lampu hijau’ daripada penerbitan Kadokawa Gempak Starz (Gempak Starz) untuk menerbitkan animasi tersebut.

“Siri animasi TV ‘Lawak Kampus’ akan mensasarkan golongan penonton daripada kalangan kanak-kanak dan keluarga di sekitar Asia Pasifik dengan 10 episod yang ‘tidak kering gusi’.

“Siri animasi ini bertujuan untuk memupuk tema persahabatan dan penerimaan diri selama setahun (mereka) di sekolah,” kata studio tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Lil Critter Workshop menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kadokawa Gempak Starz atas kepercayaan mengizinkan mereka membawa komik popular ini daripada buku ke kaca televisyen.

“Peluang untuk memperkenalkan peminat baharu kepada dunia Lawak Kampus adalah impian yang akan menjadi kenyataan buat team kami.

“Kami berasa terlalu gembira untuk mengembangkan lagi watak-watak ‘gila’ dan ‘berwarna-warni’ rakyat Malaysia ini menjadi animasi yang ‘hidup’,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Kadokawa Gempak Starz, Chris Yew pula berasa tidak sabar untuk melihat komik animasi mereka terpampang di kaca televisyen buat pertama kali.

“Team kami (di Gempak Starz) di sini sangat menantikan penerbitan Lawak Kampus.

“Kami percaya sepenuhnya pada kreativiti Lil Critter Workshop untuk ‘mengubah’ komik legenda kami untuk penonton di TV,” katanya.

Komik Lawak Kampus yang pernah menjadi fenomena di negara ini sejak 2003 dulu dicetak dalam versi Bahasa Melayu, Mandarin dan Bahasa Inggeris.

Kejayaan komik ini yang membawa unsur humor santai tentang ‘budak sekolah’ melalui watak Vanness, Froggy, Aditas, Cikgu Noodle, Xena dan banyak lagi telah berjaya menambat hati kira-kira 150,000 pembaca di seluruh negara.

Sumber: Lil Critter Workshop

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'