Masakan kari adalah salah satu menu tradisi kesukaan rakyat Malaysia. Pergilah sahaja ke kedai makan manapun, sama ada kedai nasi kandar atau kedai lauk Melayu, menu ini pasti ada.
Salah satu bahan utama untuk membuat kari yang sedap adalah santan kelapa dan serbuk kari yang memberikan rasa rempah dan lemak yang seimbang. Namun tahukah anda, kita sebenarnya boleh menghasilkan kari yang pekat kaw tanpa santan. Jom ikuti resipi Puan Zurina Zulkefli di bawah.
Kari pekat tanpa santan
Selamat tengahari, buat pertama kalinya hari ini saya masak lauk kari daging. Lauk permintaan suami, makan tengahari sampai malam pun takpe katanya. Jimat. Jadi, untuk kari ni saya tak guna santan dan saya masukkan semua bahan yang ada kat dapur jadikan satu lauk. Saya jamin sedap. Huhu
Resepinya mudah sahaja, ada di setiap gambar. Saya tahu ramai orang muda yang berkurung di rumah sekarang rajin nak mencuba masak pelbagai menu, sila la mencuba kari ni. Macam rasa makan kat mamak.

Bahan-bahan
2 biji bawang merah
2 tangkai daun kari
1 biji tomato
2 biji kentang
1 lobak merah
3 tangkai lada kering
4 tangkai cili hijau
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
2 hirisan halia (ditumbuk)
Rempah
1 paket rempah kari daging
3 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar rempah jintan putih
1 sudu besar biji ketumbar yang ditumbuk


Cara-cara:
1. Panaskan minyak masak di dalam periuk, langsung tumiskan bawang putih, halia, bawang merah, lada kering, cili hijau, dan daun kari.

2. Kemudian masukkan tomato dan masak sehingga tumisan menjadi lembap.

3. Masukkan air asam jawa. Kalau takde asam jawa, boleh guna yogurt.

4. Masukkan semua serbuk rempah ke dalam masakan. Gaul rata.

5. Masukkan daging, lobak merah dan kentang. Gaul sebati dengan rempah.

Biarkan jus daging keluar pada suhu api paling kecil.

6. Tutup periuk dan biarkan selama 10 minit.

7. Jus daging telah keluar dan masukkan semangkuk kecil air. Biarkan dan api masih suhu paling kecil.

8. Akhir sekali perasakan dengan garam. Sedia dihidang dengan nasi panas.

Sumber: Zurina Zulkefli