Pengorbanan terbesar bagi seorang anak adalah mengorbankan apa yang dimiliki dalam hidupnya demi berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya.
Kejayaan seorang anak yang berjaya hingga ke menara gading itu adalah daripada berkatnya doa si ibu serta titik peluk si ayah membanting tulang mencari rezeki.
Hasil daripada kejayaan itulah, mereka berpeluang untuk mengecapi kerjaya impian.
Namun, bukan semua orang Tuhan taqdirkan begitu. Barangkali ada juga yang ditaqdirkan untuk ‘pulang’ semula ke pangkuan ibu bapa bagi menjaga kebajikan hari-hari tua mereka.
Demikianlah kisah benar yang dialami oleh seorang pengamal perubatan, Puan Siti Suryanis Yaakop apabila dia ‘berpeluang’ menemui seorang insan hebat.
Insan ini bukan calang-calang. Difahamkan, dia sanggup tinggalkan segala kerjaya dan cita-citanya semata-mata untuk menjaga ibunya yang sudah uzur dimamah usia. Mari hayati perkongsian ini.

“Anak makcik ni berhenti kerja. Tak kahwin sampai sekarang nak jaga makcik. Harap kakak abang dia la bagi kami duit belanja nak buat beli lauk,”.
Makcik kesat airmata sebelum menyambung….
“Kesian dia. Belajar pandai. Patut dapat kerja bagus. Tapi ni susah. Umur macam ni semua orang bergaya, berjalan merata. Tapi dia habis umur jaga makcik semata,”.
Tangisannya makin kuat. Sekarang anaknya pun mengesat airmata sama.
Dan saya juga.
Ada masa memang susah sungguh nak kekal profesional. Tidak terbawa-bawa dengan kisah pesakit. Tapi ada masa memang hati saya gagal mengawal suasana.
Adik ni muda sikit dari saya. Baru nak masuk 35. Belum berkahwin. Elok habis belajar, kerja setahun dua. Lepas tu ayahnya sakit. Tak lama tu, maknya pula sakit. Dia ambil keputusan untuk berhenti. Jaga ayah sampai hujung nyawa. Sekarang jaga mak pula.
Memang nampak dia susah.
Baju coklatnya tu ada lubang-lubang sedikit di sana sini. Hujung lengannya sudah kembang. Tidak ada gaya. Tidak ada lawa. Cuma pakai tudung sarung yang sama seperti yang dipakai maknya.
Pernah juga dulu buat bisnes online di rumah. Masa dia sibuk depan laptop, dengar bunyi ‘benda’ jatuh dalam tandas. Rupanya mak yang tinggal sebelah kaki ni tadi cuba pergi tandas sendiri.
Takut ganggu anaknya yang nampak sedang bekerja, mak diam-diam pergi tandas. Dengan kaki sebelah yang masih tak kuat, terjelepok lah maknya di situ.
Kisah ini bukan apa.

Saya cuma teringat begitu banyak orang di luar sana berkisah tentang woman empower. Ada duit. Kumpul emas. Kumpul harta. Tinggi kerjaya. Pandai gaya. Bijak berjaya.
Tapi ada wanita yang memang sengaja memilih untuk tidak punya apa-apa. Nampak macam takda apa-apa. Nampak macam tak mengumpul walau satu benda.
Kemudian saya tertanya semula.
Rugikah mereka? Sia-siakah pengorbanan mereka? Betulkah mereka tak punya apa-apa? Betulkah mereka takda harta benda? Tak cantik bergaya tu rugikah untuk mereka?
Sekurang-kurangnya adik ini hidup dengan tujuan dan matlamat. Jalan syurga dia jelas.
Saya masih lagi setiap bulan scroll benda nak dibeli. Kejap tengok handbag. Kejap tengok kasut. Kejap tengok emas. Semua benda rasa nak beli. Kadang tak cukup duit nak beli, tiba-tiba rasa susahnya takda duit banyak.
Orang-orang macam adik ni sentiasa datang dan pergi dalam hidup saya setiap hari. Masa dia datang, saya bagai dilimpahi rasa syukur yang melimpah-limpah.
Tapi bila balik rumah kadang scroll FB, rasa syukur tu mudah sangat ditarik dan hilang. Lupa yang tadinya saya pun sama menangis dan rasa tobat lahum dah nak usaha berubah.
Bila dah lagi lama..lagilah hilang terbang melayang.
Hati macam tulah. Sentiasa berbolak-balik.
Kadang bila kita terlupa, Tuhan ingatkan dengan pesanan. Dihantar kisah dari orang keliling untuk kita ambil pengajaran.
Tapi ada juga masa Tuhan ingatkan dengan ujian. Dengan harta. Dengan kawan. Dengan kesusahan. Dengan pengkhianatan. Dengan hal yang menyakitkan.
Supaya kita boleh kekal fokus pada tujuan utama tentang mengapa kita hidup dan dihidupkan. Supaya kita tidak susah dengan perkara yang tak berbaloi kita susahkan. Supaya kita berani untuk tinggalkan perkara yang patut kita tinggalkan.
Jalan terus!
Siti Suryani Yaakop
#kaknis
"Anak makcik ni berhenti kerja. Tak kahwin sampai sekarang nak jaga makcik. Harap kakak abang dia la bagi kami duit…
Posted by Siti Suryani Yaakop on Wednesday, January 27, 2021
Sumber: Siti Suryani Yaakop