Pengadun formula rencah istimewa Indomie, Nunuk Nuraini, 59, dilaporkan telah meninggal dunia semalam (Rabu).
Memetik laporan Kompas, khabar itu telah disahkan oleh Ketua Perhubungan Awam Indofood, Nurlita Novi Arlaida ketika dihubungi semalam.
“Ibu Hjh Nunuk Nuraini meninggal dunia hari ini dan pulang dengan tenang ke pangkuan Allah SWT,” katanya kepada portal tersebut.
“Semoga Almarhumah husnul khatimah, diterima ibadah dan amalan baiknya, diampuni semua dosa-dosanya dan ditempatkan di syurga-Nya. Dan untuk keluarga Almarhumah yang ditinggalkan, diberikan kekuatan iman dan ketabahan,” kata Agus Suprapta, wakil Sumber Manusia Bahagian Mi Instan PT Indofood.
Allahyarham telah berkhidmat selama hampir 30 tahun di syarikat berkenaan sebagai pengadun perisa yang kini menjadi salah satu mi segera kegemaran rakyat Indonesia. Sehingga kini, terdapat pelbagai perisa Indomie seperti soto, rendang, kari ayam dan perisa klasik mi goreng.
Pemergiannya telah menyentuh hati orang ramai yang turut bersedih atas kehilangan individu hebat yang menjadi salah satu faktor terkenalnya mi segera Indonesia itu ke seluruh dunia. Mi segera berkenaan kini telah berjaya dipasarkan di sekitar 80 buah negara di seluruh dunia termasuk Australia, New Zealand, Korea, Amerika Syarikat dan Kanada.
Sumber: Kompas