Lain dari kebiasaan, pasangan pengantin di Bogor, Indonesia, menjadikan ular sawa sepanjang satu meter sebagai mas kahwin.
Memetik laporan Tribun News, pengantin lelaki Sigit Agus Setiawan. menghadiahkan ular sawa itu kepada isterinya, Tiara Puspita Dewi, setelah mereka mengunjungi sebuah pameran reptila sebelum itu.
Kata Tiara, ketika melihat salah seekor ular sawa di situ, dia merasa suka dan teruja.
“Ketika kita datang ke pameran, saya suka salah seekor ular di situ,” kata Tiara.

Suaminya yang juga merupakan pencinta reptila, kemudiannya membelikan ular sawa itu dengan harga 2.7 juta rupiah (RM772) dan menjadikannya sebagai salah satu masa kahwin pernikahan mereka.
“Saya tak tahu (ular tersebut) dibeli untuk dijadikan mas kawin,” kata Tiara.
Difahamkan, pasangan ini menjalinkan cinta setelah dipertemukan dengan hobi yang sama iaitu pencinta reptilia.
Ketika majlis perkahwinan di Kampung Pasir Jambu, Sukaraja, Bogor, pada Khamis (21/1/2021), mereka turut membawa ular tersebut dan dipamerkan kepada tetamu.
Ianya juga ditayangkan ketika sesi bergambar kedua-dua mempelai di atas pelamin.

”Kami membawa ular itu ke resepsi, tetapi kami tidak membawanya ke pejabat agama,” kata Tiara.
Namun, keluarga mereka sebelum itu sebenarnya menolak mas kahwin ular, tetapi setelah dijelaskan keluarga mereka akhirnya bersetuju.
Walaupun dijadikan mas kahwin, kata Sigit, ular sawa itu tidak didaftarkan secara rasmi di pejabat agama sebagai mas kahwin.
Pemberian mas kahwin yang lain adalah berupa cincin dan kelengkapan solat untuk mengelakkan masalah berbangkit.
Ular tersebut kini dijaga oleh mereka berdua sebagai tanda janji suci mereka dan juga sebagai kenangan yang menyatukan keduanya.
Sumber: Tribun News