BALIK PULAU, 29 Jan — Pelajar sekolah terutamanya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di Balik Pulau mampu menarik nafas lega setelah Pertubuhan Badan Pemikir Melayu (PEMIKIR) menyediakan capaian Internet dan peranti percuma untuk kegunaan umum.
Tengku Nur Alia Tengku Anwar, 17 berkata sejak pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dia mengalami kesukaran untuk mendapatkan capaian Internet yang konsisten di rumah.
“Rumah saya tidak ada wi-fi jadi saya hanya menggunakan data Internet telefon bimbit semasa PdPR. Kadang-kadang Internet lambat, ada masanya tidak dapat capaian langsung. Saya juga pernah ketinggalan kelas atas sebab yang sama,” katanya ketika ditemui pemberita di dewan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), di sini hari ini.
Katanya hari ini, dia berjaya mengikuti PdPR dengan lancar dan melengkapkan tugasan yang diberikan guru menerusi kemudahan yang disediakan PEMIKIR itu.
Nur Alia turut berterima kasih kepada PEMIKIR kerana menyediakan ruang yang selesa, dilengkapi perabot asas seperti kerusi dan meja selain kipas angin.
Pengerusi PEMIKIR Datuk Muhammad Farid Saad berkata organisasi tersebut mengambil inisiatif berkenaan selepas mendengar keluhan penduduk kampung yang tidak mampu menyediakan peranti serta capaian Internet yang memuaskan untuk anak-anak mereka mengikuti pembelajaran.
“Tempat ini terbuka kepada seluruh masyarakat untuk menggunakannya, tidak terhad kepada pelajar. Sekiranya masing-masing ada peranti dan hanya memerlukan capaian Internet juga boleh ke sini. Kalau siang, kita bekerjasama dengan PAWE untuk memantau penggunaan bermula dari 8.30 pagi hingga 3 petang,” katanya.
Beliau turut menyarankan ibu bapa menemani anak masing-masing sekiranya perlu menggunakan kemudahan itu pada waktu malam.
Internet berkelajuan 300 megabait sesaat itu boleh dicapai dalam radius 50 meter, katanya, menambah PEMIKIR berhasrat mewujudkan pusat capaian Internet di beberapa lokasi lain di Balik Pulau.
Sumber: BERNAMA