Siakap Keli

Mengidam Ibu Hamil Harus Dituruti? KKM Jelaskan Punca Dan Perkara Yang Perlu Dilakukan

Mengidam adalah satu proses yang sering berlaku kepada ibu mengandung. Ia bergantung  pada keinginan seseorang itu sama ada ingin merasai makanan atau minuman dalam pelbagai jenis. Pun begitu, ada juga yang dari kalangan mereka yang mengidam bukan dari bahan makanan antaranya produk sabun, tanah, debu dan sebagainya.

Selain itu, mengidam yang dialami kadangkala tidak tertakluk kepada keinginan dalam makan atau minum sahaja. Mereka boleh minta untuk mencuba sesuatu perkara yang pelik atau tidak masuk akal yang sukar dijangkakan.

Bagi ibu mengandung yang mengidam, ia tidaklah kerap berlaku sepanjang tempoh proses kehamilan. Ia bergantung kepada hormon dan kekuatan ibu mengandung tersebut. Walaubagaimanapun, mengidam semasa mengandung tidak berlaku kepada semua wanita hamil.

Rasa Mengidam fakta atau mitos?

Biasanya ibu mengandung akan rasa mengidam sewaktu kandungan berusia 3 bulan pertama. Namun begitu, ada yang mengatakan mengidam adalah perbuatan yang disengajakan oleh ibu mengandung dan menggunakan alasan bayi dalam kandungan yang meminta. Betul ke?

Jika diikutkan kata orang tua-tua dahulu, ibu mengandung yang tidak dapat makan makanan yang diidamkan, anak yang lahir akan mengeluarkan air liur disebabkan ibunya tidak memenuhi permintaan makanan tersebut. Namun, jika diikutkan pakar perubatan dan kesihatan, ia bukanlah satu fakta yang dikaitkan dengan perkara tersebut.

Walaupun anda tidak dapat memenuhi permintaan makanan ibu mengandung yang mengidam, ia bukanlah menjejaskan bayi dalam kandungan atau selepas melahirkan. Contohnya jika mereka mengidam sesuatu makanan yang terlalu manis atau masin, ia berisiko untuk mendapat penyakit darah tinggi atau kencing manis. Justeru, tidak salah jika anda ingin memenuhi permintaan ibu mengandung yang mengidam, namun harus berwaspada.

Apakah punca mengidam semasa mengandung?

Ramai pakar masih tidak menemui punca sebenar mengidam atau penolakan sesuatu makanan semasa mengandung. Menurut Siobhan Dolan, beliau berpendapat mengidam atau penolakan semasa kehamilan sebenarnya merupakan satu faktor perlindungan, walaupun tiada data saintifik yang mencukupi untuk menyokong teori ini.

Keadaan mengidam ini menyebabkan peningkatan kalori serta zat makanan (nutrien) semasa kehamilan. Ia juga melibatkan keperluan pertumbuhan atau pembentukan janin semasa dalam kandungan. Selain itu, sesetengah saintis dan penyelidik menyatakan perubahan hormon semasa mengandung  turut memberi kesan kepada deria bau kepada ibu mengandung. Justeru, secara tidak langsung, ia memberi kesan dalam permintaan, pemilihan dan penolakan makanan.

Selain daripada itu, mengidam semasa mengandung  turut dikaitkan dengan petanda berlakunya kekurangan zat makanan dan nutrien. Contohnya, jika seseorang wanita hamil itu mengidam sesuatu seperti susu atau produk tenusu seperti keju menunjukkan kekurangan kalsium. Manakala mengidam makanan manis seperti coklat menandakan peningkatan keperluan kalori atau kekurangan vitamin B.

Bahaya ke mengidam buat ibu mengandung?

Mengidam sesuatu makanan adalah tidak terkesan kepada bayi dalam kandungan. Namun yang menjadikan ia terjejas kepada kesihatan adalah makan makanan tersebut secara berlebihan.

Walau bagaimanapun, mengidam bukanlah suatu kesalahan dan tidak membahayakan jika dapat mengawalnya. Walau sekuat mana anda mengidam sesuatu makanan, pastikan anda berfikiran waras. Fikirkan kesihatan anda dan bayi dalam kandungan.

Senarai di bawah merupakan makanan yang perlu diambil perhatian dan elakkan memakannya semasa anda hamil:

  • Makanan laut termasuk ikan, telur dan produk hasil daging/ayam yang mentah atau tidak dimasak secara sempurna
  • Susu dan produk tenusu seperti keju yang tidak dipasteur (unpasteurised milk)
  • Alkohol
  • Sayuran berakar yang tidak dibasuh bersih

Apakah yang perlu dilakukan jika mengidam semasa hamil?

Mengidam semasa mengandung tidaklah menjadi satu perkara yang memudaratkan kepada ibu dan bayi dalam kandungan malah ia juga bantu mengekalkan sedikit nutrien dan perkembangan. Namun, perlu diingatkan, pemakanan ibu mengandung perlu dijaga sehingga tidak mencapai penyakit yang berisiko bahaya kepada bayi yang akan dilahirkan.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda lakukan sekiranya anda mengidam sesuatu jenis makanan:

  • Makan makanan yang seimbang dan pilih makanan yang kurang lemak serta tinggi serat seperti produk bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran serta kekacang. Sekiranya anda makan secara sihat setiap hari, sesekali anda mengidam makanan yang kurang berkhasiat dan diambil dalam jumlah yang sedikit tidak menjejaskan keperluan zat yang diperlukan oleh bayi dalam kandungan.
  • Makan secara kerap dan boleh makan enam kali dalam sehari dalam jumlah yang sedikit tetapi mengenyangkan. Ini bagi membantu mengelakkan penurunan paras gula dalam darah sehingga sukar untuk  mengawal keinginan untuk makan.
  • Alihkan perhatian dengan keluar berjalan, bersembang, membaca atau menjauhi dapur anda atau kedai.
  • Beri tumpuan kepada makanan yang rendah kandungan kalorinya. Sekiranya ingin makan ais krim, pilih ais krim yang diperbuat daripada yogurt rendah lemak yang disejuk beku atau sorbet.
  • Sekiranya mengidam untuk makan kerepek kentang (bergoreng), pilih yang dibakar atau dipanggang dan kurang garam.

Walau apa pun makanan yang anda inginkan atau mengidam, yang penting ia diambil secara sederhana dan tidak berlebihan.

Kesimpulan

Ibu mengandung berisiko pelbagai penyakit jika tidak menjaga pemakanan sepanjang tempoh proses kehamilan. Buat para suami dan ahli keluarga, jika ingin memenuhi permintaan wanita hamil yang mengidam, pastikan periksa dahulu adakah makanan tersebut baik untuk kandungan atau memberi kesan sampingan yang lain terhadap kandungan.

Walaubagainapun,  pastikan anda membuat pemeriksaan kepada doktor atau pegawai perubatan jika mempunyai sebarang tanda atau sakit selepas makan bimbang ianya akan terkesan kepada bayi dalam kandungan.

Sumber : My Health (Kementerian Kesihatan Malaysia)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.