Siakap Keli
Gambar: Google

Nyaris Hilang Anak Angkat, Peguam Dedah Kes Ibu Kandung Cabut Sijil Lahir & Tukar Identiti Anak

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes seorang kanak-kanak yang meninggal dunia didakwa akibat didera oleh ibu kandungnya.

Difahamkan, ibunya (suspek) kini sedang direman dan akan menjalani tindakan undang-undang.

Berhubungan dengan kes anak angkat, peguam Nor Zabetha juga turut berkongsi satu kisah benar melibatkan seorang kanak-kanak yang dijadikan anak angkat kepada sebuah keluarga.

Namun masalah tidak dijangka mula berlaku apabila ibu kandung tersebut secara ‘senyap-senyap’ telah menukar identiti anaknya itu, sekaligus mengakibatkan keluarga angkat hampir-hampir hilang anak kesayangan mereka itu.

Mari ikuti pendedahan ini.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

Beberapa tahun dahulu, ada seorang bapa yang datang menemui saya bagi tujuan pengangkatan anak angkat.

Kisahnya, dia dan isteri tidak ada rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri. Satu hari ada seorang wanita bukan Islam sedang mengandung tetapi ingin diberikan anak ini bagi jagaan.

Wanita ini tidak dilahirkan di Malaysia tetapi telah mendapat kewarganegaraan. Katanya, dia tidak boleh memelihara anak ini selepas lahir kerana keluarganya tidak dapat menerima status anak ini yang luar nikah.

Jadi atas persetujuan bersama, wanita ini bersetuju agar si bapa ini mengambil anaknya sebagai anak angkat mengikut saluran yang sah.

Dalam proses menunggu kelahiran bayi ini, segala keperluan si ibu yang bakal melahirkan dituruti, segalanya ditanggung oleh suami isteri ini sehinggalah juga segala kos melahirkan di klinik swasta.

Segala dokumentasi lengkap diisi, cukup dengan surat berkanun dari si ibu memberikan hak jagaan dan tidak akan menuntut. Anak ini diberi nama dengan nama Islam dan dipelihara sebagai orang Islam oleh suami isteri ini.

Genap dua tahun si bapa pergi semula ke JPN bagi menetapkan temuduga di hadapan pendaftar anak angkat bagi proses akhir mendaftarkan pengangkatan tetapi tiba-tiba nama anak ini tidak ditemui.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

Rupa-rupanya si ibu kandung telah membuat cabutan sijil lahir anak ini dan memohon penukaran nama anak ini. Kini anak ini telah ditukarkan nama kepada nama bukan Islam dan sebelum cukup dua tahun penjagaan, pengangkatan masih belum sempurna.

JPN menangguhkan temuduga kerana dianggap anak ini mempunyai identiti baharu. Segala dokumen yang telah difailkan sebelum ini atas nama lama dan identiti yang lain.

Jadi sekiranya ingin meneruskan pengangkatan, kesemua dokumen perlu dibuat semula atas identiti dan nama anak yang baharu.

Terkilan dengan situasi yang berlaku. Bapa ini menemui saya, saya mengatur strategi. Nasihat saya yang pertama, jangan dimulakan saman dahulu atau terus ke mahkamah.

Kita hantar surat dahulu kepada JPN meminta penjelasan dan memaklumkan hal ini tidak sepatutnya berlaku, sekiranya masih tidak dapat diselesaikan kita akan bawa kes ini ke mahkamah.

Tanya si bapa, apa yang perlu dilakukan sementara menanti proses yang entah berapa lama akan selesai. Bagaimana status anaknya?

Jawab saya, bukanlah kita hendak menafikan hak ibu kandung tetapi caranya itu mengundang persoalan, tidak pernah dilawat anak ini, tidak ditanyakan khabar. Tiba-tiba dia menukar identiti anaknya.

Kenapa tidak dibawa berbincang dahulu? Malahan kita tidak tahu persekitaran kehidupan ibu kandung sekarang dan bimbang jika kebajikan dan keselamatan anak ini tidak terjaga.

Saya minta si bapa berhati-hati dan jangan dibiarkan anak keseorangan tanpa pemantauan. Jika diambil tanpa pengetahuan pun, tidak boleh dikira sebagai penculikan kerana itu ibu kandungnya, proses pengangkatan masih tidak lengkap.

Jawab si bapa, dia sehingga berpindah rumah. Siang malam tidak tidur memikirkan keselamatan anaknya ini. Dia betul-betul tidak tahu apa niat wanita ini kerana langsung tidak diajak berbincang dan terus ikut cara ‘pintu belakang’.

Setelah menerima surat dari firma kami, JPN memanggil untuk berbincang dengan si bapa. Si bapa minta saya hadir. Sewaktu di JPN, saya tidak dipanggil masuk mesyuarat dan diminta secara baik menanti di luar.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

Saya faham dan akur. Ini situasi biasa, kadangkala untuk mengelakkan perbincangan jadi kian panas kerana ada peguam, saya sentiasa diminta tunggu dalam kebanyakan perbincangan antara anak guam dan badan kerajaan.

Prinsip saya mudah, saya datang untuk menyelesaikan. Untuk anak guam berlapang dada dan bukan untuk bergaduh. Saya tunggu di luar dan sekiranya anak guam perlukan khidmat saya, saya akan bantu.

Hampir 45 minit menunggu. Atas permintaan si bapa untuk minta saya masuk kerana dia kurang jelas penjelasan undang-undang, saya masuk.

Kami berbincang bersama pegawai. Kata saya, janganlah kita hingga ke mahkamah, lama prosesnya nanti. Saya minta jasa baik pegawai ini menyelesaikan kerana saya lihat si bapa dan ibu ini sayang benar pada anaknya. Anak ini juga manja dengan ibu bapa angkatnya.

Kata pegawai, dia faham. Cuma terikat dengan prosedur tetapi akan dia usahakan. Selesai mesyuarat. Hampir sebulan dua, akhirnya ibu dan bapa ini dipanggil untuk temuduga, saya pun hadir sama.

Masih saya tunggu diluar tetapi manalah tahu jika ada isu berbangkit, bukan saya datang hendak bersilat hanya menyelesaikan secara damai.

Syukur. Alhamdulilah semua selesai. Ibu dan bapa ini telah secara sah mendapat hak penjagaan anak ini. Bapa ini berulangkali mengucapkan terima kasih.

Proses pengangkatan ini kebiasaannya daripada pengalaman saya, sentiasa menjaga hak dan kebajikan anak. Kalau dalam proses kita memohon itu, berlaku kekangan cuba cari penyelesaian.

Moga yang baik-baik sahaja untuk anak ini.

Oleh Nor Zabetha

Beberapa tahun dahulu, ada seorang bapa yang datang menemui saya bagi tujuan pengangkatan anak angkat.Kisahnya, dia…

Posted by Nor Zabetha on Sunday, January 31, 2021

Sumber: Nor Zabetha

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.