Siakap Keli

Gaduh: Kakak Lumpuh Selepas Dipercayai Dipukul Adik Dengan Batang Penyapu

SIBU, 2 Feb — Seorang wanita berusia 49 tahun lumpuh hampir dua minggu selepas dipercayai dipukul oleh adik lelaki bongsunya dengan batang penyapu dalam pergaduhan di rumah mereka di Sungai Antu di sini, kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit.

Beliau berkata mangsa, Tiong Mee Kiong, mengalami vertebra subluksasi atau dislokasi pada dua bahagian tulang belakangnya (C5 dan C6) menyebabkan mangsa lumpuh dari dada ke bawah dan walaupun akan menjalani pembedahan esok, peluangnya untuk pulih sepenuhnya, tipis.

“Hubungan adik-beradik itu tidak baik sejak sekian lama dan sering bergaduh tetapi tidak pernah menggunakan kekerasan fizikal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata insiden itu berlaku pada 3 petang, 22 Jan lepas apabila suspek lelaki berusia 44 tahun itu dipercayai meminta wang daripada mangsa dan kakaknya enggan melayannya namun apabila suspek asyik meminta wang daripadanya, mangsa hilang sabar, terus mengambil batang penyapu dan memukul suspek.

“Suspek bertindak balas dengan merampas penyapu itu daripada mangsa dan dipercayai mula memukul kakaknya berulang kali di bahagian kepala, badan dan belakang badan menyebabkan mangsa jatuh di lantai ruang tamu di tingkat atas rumah mereka,” katanya.

Stanley berkata dipercayai suspek terus memukul mangsa walaupun kakaknya telah tidak berdaya, terbaring di lantai dan suspek hanya meninggalkan rumah itu selepas ibunya yang berusia 71 tahun, yang berada di tingkat bawah semasa insiden itu, menjerit kepadanya supaya berhenti memukul kakaknya.

Ibu mangsa kemudian menghubungi ambulans untuk membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.

“Pada mulanya kedua ibu bapa mereka tidak mahu membuat laporan polis tetapi selepas didesak oleh mangsa, ibunya setuju membuat laporan semalam,” katanya.

Susulan laporan itu, suspek ditahan kira-kira 2.10 petang semalam dan direman tujuh hari bermula hari ini untuk membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata.

Beliau berkata kes itu akan dirujuk kepda pegawai perlindungan Jabatan Kebajikan untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara untuk mangsa.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.