Putrajaya, 3 Feb – Malaysia telah mencatatkan lagi 18 kematian berkait COVID-19 hari ini, menjadikan kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 809 orang.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kematian termuda hari ini melibatkan seorang lelaki warganegara berusia 31 tahun di Melaka. Jenazah pesakit yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik itu dibawa ke Hospital Alor Gajah.
Sementara itu, dua lagi wanita masing-masing berusia 35 dan 38 tahun di Selangor telah disahkan meninggal dunia. Pesakit yang kedua-duanya mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi masing-masing telah menjalani rawatan di Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh.
Kematian tertua hari ini pula melibatkan seorang warga emas berusia 93 tahun yang merupakan seorang wanita. Jenazah pesakit yang mempunyai penyakit darah tinggi itu dilaporkan telah dibawa ke Hospital Teluk Intan.
Berikut adalah angka kematian mengikut negeri:
Selangor – 5
Perak – 2
Sarawak – 3
Negeri Sembilan – 3
Kelantan – 1
Sabah – 1
WP Kuala Lumpur – 1
Johor – 1
Melaka – 1
Takziah diucapkan kepada keluarga pesakit.
Sumber: KP Kesihatan