Siakap Keli
Gambar via Oddity Central

Gempak, Artis Dari Vietnam Berjaya Hasilkan 45,800 Lubang Kecil Untuk Membuat Ukiran Pada Kulit Telur

Seorang artis dari Vietnam berjaya dengan berkat kesabaran dan penelitian untuk menghasilkan 45,863 lubang pada kulit telur burung unta. Artis itu mengambil masa selama tiga tahun untuk menghasilkan karya tersebut.

Artis yang dikenali sebagai Nguyen Hung Cuong dari Hanoi, Vietnam mendakwa telah mengubah telur tersebut menjadi satu karya seni yang mengagumkan. Artis yang berusia 30 tahun itu dilaporkan menghabiskan masa 3 tahun di mana setiap lubang yang dihasilkan berdiameter 0.2mm sahaja.

Menurut laporan, dirinya mendapat ilham untuk menghasilkan karya tersebut setelah membaca mengenai pencapaian Mr Hamit Hayran. Mr Hamit Hayran dipercayai berjaya mencatat rekod Guiness pada beberapa tahun lepas dengan menghasilkan hampir 12,000 lubang pada telur ayam.

Cuong mengatakan ukiran pada kulit telur ayam adalah suatu proses yang sangat sukar dilakukan akan namun ukiran pada telur unta lebih mudah kerana kulit telur itu lebih keras dan tebal. Walau begitu, dirinya dikatakan perlu berhati-hati ketika membuat lubang itu kerana ia berkemungkinan boleh merosakkan telur tersebut.

“Saya tidak terburu-buru dalam melakukannya. Berkemungkinan rosak sekiranya saya tergesa-gesa melakukannya, jadi saya harus tenang dan sabar sehingga ia selesai dihasilkan,” kata Nguyen Hung Cuong.

Bagaimanapun, karyanya itu dilaporkan telah diiktiraf oleh Organisasi Rekod Vietnam dan artis tersebut kini mendakwa berusaha untuk menyerahkannya ke Guinness Record dengan harapan dapat memecahkan rekod baharu.

Sumber: Oddity Central

Nabila

Memilih untuk menjadikan pena sebagai duri yang memberi manfaat kepada manusia