Apabila berlakunya sesuatu kes jenayah, kita pasti akan berasa amarah kepada individu yang dipercayai melakukannya. Selagi suspek tidak dituduh atau dijatuhkan hukuman sewajarnya di mahkamah, selagi itulah kita tetap tidak berpuas hati. Apa yang lebih menyakitkan ialah apabila ada suspek yang terlepas daripada hukuman berat hanya kerana kekurangan bukti.
“Kalau tiada pembunuhnya, takkan mangsa mati begitu? Dari mana datangnya kesan kecederaan dan luka?” Mungkin ini antara soalan yang timbul di fikiran kita apabila hukuman dijatuhkan ke atas tertuduh tak seperti apa yang kita harapkan.
Penentuan hukuman adalah proses yang kompleks. Tugas untuk membuktikan suspek bersalah bukan sahaja terletak pada bahu hakim, namun turut bergantung kepada pihak saksi, pegawai penyiasat dan juga peguam. Malah, sekalipun jika mayat dijumpai di dalam rumah suspek, tidak bermakna dia boleh disabitkan dengan hukuman bunuh jika pembuktian lemah.
Mari baca penjelasan oleh peguam, Puan Nor Zabetha di bawah.
Saya hendak berkongsi tentang undang-undang dan pembuktian di mahkamah. Kalau terjumpa mayat dalam rumah tidak semestinya suspek boleh didakwa, disabitkan dan dihukum dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kita baca laporan berita bahawa kes adik Amir kini disiasat dibawah Seksyen 302 KK tetapi ada juga kes kadangkala apabila diteruskan ke mahkamah tidak semestinya di bawah Seksyen 302 KK juga. Kenapa? Saya terangkan.
Status saya tengahari tadi mengatakan bahawa saya berharap agar ibu kandung dan bapa tiri adik Amir, disiasat, didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 302 KK tetapi saya sendiri tahu pembuktiannya bukan senang.
Di mahkamah ini teramatlah sukarnya jika tidak cukup bukti. Sebab itu kadang-kadang kita lihat laporan kes, yang disiasat Seksyen lain tetapi waktu dakwaan dan sabitan Seksyen lain pula.
Walaupun mayat dijumpai dan ada pelaku tetapi perlu dibuktikan bahawa pelaku dengan niat atau tahu perbuatannya itu akan menyebabkan kematian. Jenayah bunuh ini diperincikan dalam Seksyen 300 KK. Perlu cukup elemen, perbuatan dan niat menjadikan ianya bunuh.
Sebab itu kalau kita baca laporan kes dibawah Seksyen 302 ini, tertuduh dalam kes begini mengakui bahawa ada bertemu dengan si mati tetapi versi mereka akan selalu kata bukan mereka yang sentuh atau mereka yang bunuh. Sedaya upaya mereka cuba bukti, kematian bukan di tangan mereka.
Kadangkala setelah siasatan ada kes yang kesalahanannya bakal dipinda kepada misalnya bunuh tanpa niat, secara cuai menyebabkan kematian. Perihal bunuh ini sebenarnya berbeza sama ada dengan niat atau tidak.
Kalau pernah ingat satu ketika dahulu kes M******, mayat isterinya ditemui dalam almari bilik utama, berbalut dengan selimut dan mulut ditekap dengan pita pelekat
Kes ini sangat kontroversi kerana suspek mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain dan malam kejadian itu, kekasihnya mengakui bahawa mereka telah menjalinkan hubungan intim sewaktu mayat si isteri berada dalam almari (waktu melakukan hubungan kekasihnya tidak tahu si mati dalam almari, hanya selepas kes ini disiasat dia tahu mayat berada dalam almari).
Tetapi, dia terlepas dari dakwaan bunuh. Ya, terlepas kerana saksi utama dalam kes ini iaitu pembantu rumah bernama Y**** yang merupakan kunci penemuan mayat.
Y**** yang mula-mula curiga dengan kehilangan majikannya telah menghubungi rakan si mati. Malahan Y**** menyatakan kepada rakan si mati, suspek tidak membenarkan Y**** masuk atau mengemas bilik utama.
Malangnya Y**** tidak dipanggil sebagai saksi kerana Y**** adalah pendatang tanpa izin. Dia telah pulang ke Indonesia, bagaimana hendak mengesannya.
Tanpa keterangan Y****, maka tidak dapat disahkan mayat dijumpai itu disebabkan oleh suspek sebagai pelaku dan pembunuhnya. Link berita saya kongsi dalam ruang komen.
Begitulah juga dengan kes penemuan mayat bayi dalam peti ais iaitu adik Adam Rayqal. Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kerana menyebabkan kecederaan di bahagian kepala.
OKT juga didakwa dibawah Seksyen 201 KK kerana kerana melupuskan mayat mangsa dengan niat untuk menyembunyikan kematian mangsa.
Punca kematian kerana ialah kecederaan kepala disebabkan oleh “head injury due to blunt force trauma”. Tiada kesan lain yang ditemui, tiada saksi yang menyaksikan bagaimana kecederaan di kepala diperolehi.
Jadi kes ini di dakwa dibawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak kerana tiada pembuktian bagi tertuduh iaitu N*** A***** melakukan pembunuhan dan mempunyai niat membunuh selaras dengan Seksyen 300KK yang boleh dihukum bawah Seksyen 302 KK.
Secara mudah hendak difahami, perlu dibuktikan bahawa si mati, mati akibat perbuatan tertuduh dengan sengaja yang mendatangkan kematian dan tahu perbuatannya akan menyebabkan kematian.
N**** A***** mengaku salah dan dihukum penjara 3 tahun 6 bulan serta denda RM5,000 tetapi kes ini dirayu oleh pendakwaraya. Dalam kes PP v N*** A***** Binti A**** R***** [2019] 1 LNS 2118, mahkamah memutuskan hukuman penjara dipertingkatkan kepada 6 tahun.
Semogalah siasatan yang sebaiknya bagi kes Adik Amir dijalankan. Cukup bukti serba-serbi untuk dakwa dan sabitkan kesalahan pelaku. Semoga ada saksi-saksi seperti jiran beri keterangan dan ramai yang tampil.
Semoga keadilan untuk anak kecil ini dan keluarga angkatnya.
Saya hendak berkongsi tentang undang-undang dan pembuktian di mahkamah.Kalau terjumpa mayat dalam rumah tidak…
Posted by Nor Zabetha on Saturday, January 30, 2021
Daripada perkongsian ini, maka jelaslah betapa pentingnya peranan seorang saksi dalam satu pendakwaan bagi menegakkan keadilan. Tanpa keterangan saksi dan pembuktian kukuh, pelaku sebenar mungkin terlepas begitu sahaja tanpa hukuman sewajarnya.
Sumber: Nor Zabetha