Siakap Keli
Kredit: Muhammad Niezam

“Berlaku Betul-Betul Depan Kaki,” Pemuda Cuak ‘Terserempak’ Ular Tedung Depan Tandas, Tapi ‘Ceritanya’ Bikin Terhibur

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kalau dengar kisah ular masuk ke dalam rumah, pasti ramai antara kita yang akan gerun dan semakin berwaspada. Bukan apa, risau jika tiba-tiba ular terjenguk dari dalam lubang tandas ataupun bergantungan di jendela. Langkah seribu jadinya.

Namun, perkongsian seorang pemuda baru-baru ini mengenai pertembungan dengan seekor ular berbisa mendapat reaksi sebaliknya. Di sebalik kerisauan, rata-rata pembaca terhibur dengan gaya penceritaannya mengenai pengalaman ‘terserempak’ dengan ular yang keluar daripada tandas rumah sewanya.

Kongsi saudara Muhammad Niezam, kejadian berlaku sekitar waktu Maghrib apabila secara tiba-tiba dia melihat seekor ular jenis tedung senduk dipercayai spesies Naja Kaouthia (Monocled Cobra) muncul dari dalam tandas. Haiwan itu yang turut ‘terkejut’ kemudiannya melarikan diri masuk ke dalam tandas dan menyembur racunnya bagi melindungi diri.

Mari baca perkongsian saudara Niezam dalam komuniti ID Ular Malaysia.

Assalam sifu-sifu IDuM. Mohon id yang lebih tepat untuk ular ni.

Kejadian berlaku betul-betul depan kaki. Aku terkejut dia pun terkejut. Alhamdulillah dua-dua selamat.

Masuk melalui lubang tandas. Cerita di sebalik kejadian. Bilik aku bersebelah tandas. Ular dalam perjalanan nak masuk dalam bilik. Alhamdulillah terdetik dalam hati nak masuk bilik. Bertembung dengan beliau di hadapan pintu tandas. Maka terjadinya keadaan ‘terkejut’ kat situ.

Hahaha jangan tanya kenapa bersepah sangat tandas tu. Semua ular tu yang buat. Kalau tak, elok je bersusun. Sebab dia lari masuk tandas semula lintang pukang. Yang best dia punya sembur tu, boleh sampai ke pintu bilik air. Aku dok layan je ular tu main sembur-sembur. Bukan apa, taknak bagi dia pergi mana-mana.

Nak jadikan cerita, aku tutup la pintu bilik air tu. Nak keluar rumah minta tolong. Tapi sayang waktu Maghrib semua duduk dalam rumah. Aku pun perlahan-lahan bukak pintu tandas, nak usha ular tu buat apa. Tapi dah hilang. Jenuh aku cari satu tandas tak jumpa. Akhir cara, aku pam tandas. Elok je dia keluar kepala dari lubang tandas. Lagi tak tenteram hidup kalau macam ni.

Telefon member aku datang minta bantuan. Kot-kot la ada alat nak tangkap ular ni.. Dia kata ok. Dia bawak buluh dengan tali, senang nak tangkap kepala ular tu.

Part ni yang sedih. Boleh pulak la dia bawak buluh kait rambutan tu. Panjang ya amat. Mana lepas nak belok dalam rumah.. Aduhhh. Aku dah rasa hidup dalam rumah dah tak selamat.

Last-last telefon bomba. Bomba pun datang berlumba-lumba. dan Alhamdulillah rumah nak duduk pun rasa selamat. Ular pun dah selamat dilepaskan ke habitat asal. Panjang pulak cerita ni. Kenangan rumah sewa masa belajar kat Kedah.

Gambar: Muhammad Niezam

Gaya penceritaan saudara Muhammad Niezam membuatkan para pembaca terhibur membayangkan situasi ‘cemas’ itu. Tak kurang juga, ada yang meninggalkan komen lucu masing-masing berkenaan kisah tersebut.

Terima kasih hiburkan kami

Nasib keluarga Lifebuoy tu selamat

Member bawak galah rambutan tu yang menyerlah cerita

Kalau dia keluarkan kepala masa main saham….

Paling best baca part bomba datang berlumba-lumba

Lucu, lucu juga. Namun bahaya sang ular ini tak dapat dinafikan. Beberapa netizen sempat berkongsikan pengalaman mereka sendiri bertembung dengan spesies itu.

Ehem, tengah nak masuk tandas ke tu?

Sumber: Muhammad Niezam via ID Ular Malaysia

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.