Siakap Keli
Gambar: @Sahabatsurga

(Video) Kematian Yang Dicemburui, Bilal Dilapor Meninggal Dunia Ketika Berzikir Selepas Imamkan Solat Zuhur

Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia sejurus selepas mengimamkan solat Zohor di sebuah masjid di Kota Batam, Kepulauan Riau, Indonesia, lapor Potret News.

Berita sedih itu dikatakan telah menimbulkan kekecohan dalam kalangan ahli masjid serta saudara-mara imam tersebut.

Para jemaah yang juga kenalan kepada lelaki tersebut terus terang menyatakan bahawa mereka juga ingin mati dalam keadaan husnul khotimah seperti yang terjadi pada lelaki itu.

Sementara itu, isteri kepada imam yang meninggal itu mengakui bahawa perasaannya bercampur baur di antara sedih dan bangga.

Katanya, dia sedih kerana kehilangan suami yang baik dan soleh. Bangga kerana suaminya meninggal dunia dalam keadaan husnul khotimah, meninggal dalam keadaan baik, di tempat yang baik dan melakukan perkara yang baik.

Seperti yang dilapor dari Tribum Batam, Hasan Basri bin Tandayong telah meninggal dunia selepas memimpin solat Zohor di Masjid Al-Muttaqin, Batam, Kepulauan Riau, Indonesia pada Isnin lalu (1/2/2021).

Dalam rakaman CCTV Masjid Al-Muttaqin, sebelum dia meninggal dunia, Hasan dikatakan sempat untuk memimpin solat berjemaah dan kemudian berzikir sehingga nyawanya dicabut. Kejadian itu telah menjadi tular di media sosial dan lantas menjadi topik perbualan dalam kalangan imam di Batam.

“MasyaAllah, beliau (Hasan) sangat beruntung kerana meninggal dunia dalam keadaan yang baik, sejurus selepas menunai solat Zohor di masjid ini, ketika itu beliau menjadi imam dan sekarang menjadi buah mulut pada imam masjid Batam di group WhatsApp, bahkan ada yang menyatakan bahawa mahu meninggal dunia seperti dalam keadaan dia, saya juga adalah salah satunya yang meninginkan begitu,” kata Jamal Ghofar, Imam Masjid Al-Muttaqin.

Hasan sebenarnya difahamkan merupakan seorang Muadzin dan baru sahaja aktif kira-kira 10 bulan di Masjid Al-Muttaqin. ” Sebelum meninggal, dia sering belajar doa bersama saya, dia orang yang baik, beliau jarang untuk berbual perkara yang tidak penting,” ujarnya.

Sebelum ini, Hasan difahamkan tidak pernah menjadi imam. Kerana sebenarnya Imam masjid itu adalah Jamal.

“Tetapi pada masa itu saya tidak dapat menjadi imam kerana isteri saya sedang memasak dan saya sendiri sedang menjaga anak bongsu saya yang masih bayi, sambil menjaga anak saya, saya memerhatikan CCTV, tidak lama selepas solat Zohor selesai, dia terus rebah dan meninggal dunia,” katanya.

Anak keduanya yang bernama Nora menyatakan bahawa ayahnya adalah seorang Muadzin di Masjid Al-Muttaqin.

“Sebelum ayah saya meninggal dunia, dia masih lagi sedang belajar berkenaan agama. Ayah saya belajar tentang doa untuk dibaca selepas solat, bahkan semasa berniaga pun dia sering membaca doa itu, kerana ayah memang belum hafal doa itu, dia juga turut menulis doa itu di atas sehelai kertas untuk menghafalnya,” ujar Nora sambil sebak.

Hasan dilaporkan meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak, dua daripadanya adalah perempuan dan seorang lagi lelaki.

Sumber: Potret news

Aqmal Ezany

I write what is right