Siakap Keli
Gambar Via Craftymorning

Gatal Akibat Gigitan Nyamuk Berpunca Dari Air Liurnya? Ini Penjelasannya

Pernah tak tidur anda terganggu disebabkan nyamuk dan menimbulkan rasa gatal selepas bangun dari tidur? Ianya terjadi disebabkan anda terkena gigitan nyamuk yang menghisap darah sebagai proses hidupnya. Rasa gatal muncul sejurus selepas digigit akibat dari sejumlah kecil bisa atau racun yang masuk ke dalam lapisan kulit.

Rasa gatal digigit nyamuk yang dialami oleh seseorang tidaklah terlalu lama. Hal ini kerana sistem badan mempunyai pertahanan untuk menangkis racun atau bisa yang dibawa akibat dari gigitan tersebut.

Walaupun gigitan nyamuk dianggap seperti biasa, namun ianya memberi risiko bahaya kepada individu terutamanya kanak-kanak. Sekiranya anda merancang untuk keluar atau melancong ke mana-mana tempat, penting untuk anda tahu bahawa gigitan nyamuk dari luar boleh menyebabkan penyakit seperti zika, denggi, atau chikungunya.

Tahukah anda, nyamuk yang sering mencari mangsa untuk menghisap darah manusia adalah nyamuk betina. Kenapa nyamuk betina?  Nyamuk betina memerlukan darah yang banyak sebagai proses pembiakan melalui penghasilan telur. Justeru, ini semestinya tidak berlaku pada nyamuk jantan.

Selain itu, nyamuk betina mencari pembuluh darah yang paling dekat dengan permukaan kulit, bagi memudahkannya untuk menghisap darah. Setelah menemuinya, nyamuk akan membenamkan ‘jarum’ di bahagian mulutnya. Bahagian ini dikenali sebagai proboscis. Selepas itu, ia akan menghisap darah sehingga kenyang.

Rasa gatal akibat dari air liur nyamuk

Rasa gatal yang muncul di kulit akibat gigitan tersebut sebenarnya berasal dari air liur nyamuk. Air liur nyamuk berfungsi sebagai anticoagulant (mencegah pembekuan darah) bagi melancarkan proses nyamuk menyedut darah dari pembuluh darah.

Antibodi setiap orang akan mengesan air liur nyamuk sebagai gangguan dan saraf akan bertindak balas untuk menghantar isyarat terus ke otak. Kemudian, otak akan mentafsirkan gangguan tersebut sebagai rasa gatal dan tidak selesa, disertai dengan kesan merah dan bengkak di kulit.

Setiap orang yang digigit nyamuk akan terasa gatal dalam jangka masa yang singkat.  Namun, kesan gigitannya memberi kesan yang begitu lama dan menimbulkan ketidakselesaan ketika sedang tidur atau membuat kerja-kerja harian.

Sehubungan dengan itu, aktiviti menggaru sebenarnya akan menyebarkan air liur nyamuk ke kawasan lain. Inilah punca rasa gatal tersebar dan meluas di permukaan kulit.

Bagaimana mencegah gigitan nyamuk?

Nyamuk sangat tertarik dengan kawasan air yang bertakung. Sehubungan dengan itu, elakkan berdiri atau mendekati kawasan air yang bertakung, terutama pada waktu senja dan waktu subuh kerana nyamuk aktif pada waktu berikut.

Berikut merupakan cara untuk mengelak terkena gigitan nyamuk :

  • Memakai pakaian pelindung, berwarna terang dan pastikan berlengan panjang.
  • Pastikan pintu atau tingkap tidak mempunyai lubang kecil yang menyebabkan nyamuk masuk.
  • Gunakan lilin yang bersifat wangi apabila berada di luar kawasan rumah seperti membuat perkhemahan di hutan.

Rawatan gigitan nyamuk

Bagi mereka yang terkena gigitan nyamuk pasti mencari jalan penyelesaiaan dengan pantas untuk menghilangkannya. Pelbagai ubat atau losyen telah digunakan namun masih tidak hilang.

Pakar kesihatan menyarankan untuk memakai krim hidrokortison atau losen calamine untuk melegakan gatal yang berterusan berlaku. 

Selain itu, anda juga boleh cuba untuk meletakkan seketul ais batu di tempat yang gatal bagi meredakan sedikit kemerahan disebabkan gigitan nyamuk.

Jika mendapat alahan yang lebih teruk, anda boleh guna rawatan yang lain seperti berikut :

a) Antihistamin oral seperti Diphenhydramine (Benadryl) atau Loratadine (Claritin)

b) Krim atau losen anti-gatal topikal, atau benzocaine

c) Mandi air sejuk tanpa sabun

d) Suntik dengan automatik epinephrine (EpiPen) sekiranya berlaku anafilaksis

Oleh itu, jika anda merasakan badan mempunyai alergi teruk disebabkan gigitan nyamuk, segera berjumpa dengan doktor kesihatan supaya dapat mencegah sebelum mengalami penyakit lain.

Rujukan :

(1)  Michael Kerr (2019) Skeeter Syndrome: Allergic Reactions to Mosquito Bites. Sumber dipetik daripada https://www.healthline.com/health/allergies/mosquito-bite#_noHeaderPrefixedContent

(2) Sharon Tanenbaum (2017) 10 Home Remedies for Mosquito Bite Itch. Sumber dipetik daripada https://www.everydayhealth.com/skin-and-beauty-pictures/18-home-cures-for-mosquito-bite-itch.aspx