Sebagai pemilik kereta, kita perlu teliti dengan sebarang perubahan yang terjadi pada kenderaan itu. Hal ini kerana setiap perubahan yang berlaku mungkin menjadi indikator wujudnya permasalahan besar di sebaliknya.
Salah satu perubahan paling jelas yang mudah untuk kita kenalpasti adalah kemunculan asap kenderaan. Kereta yang normal lazimnya tidak mengeluarkan asap yang tebal, manakala kereta yang mengeluarkan asap mungkin berhadapan masalah di dalam enjin tanpa kita sedari.
Jadi, mari kita kenalpasti maksud di sebalik empat warna asap kenderaan yang mungkin ada pada kereta kita.
Asap hitam
Menurut Carmudi.com, jika asap hitam keluar daripada ekzos kenderaan anda, ini menunjukkan enjin kereta anda tidak mendapat udara yang cukup untuk pembakaran. Justeru, ia memerlukan lebih bahan api untuk proses berkenaan. Jadi, anda perlu memeriksa penapis udara sekiranya ia tersumbat dan gantikan dengan penapis udara yang baru. Namun, jika penapis udara dalam keadaan baik tetapi asap hitam masih keluar, ia mungkin disebabkan masalah melibatkan penyuntik bahan api, manifold atau komponen lain. Bawa kereta anda ke bengkel untuk mengetahui puncanya.

Asap biru
Tambah portal itu, jika asap kereta anda berwarna biru, ia menandakan terdapat kebocoran minyak di dalam enjin. Ia mungkin berpunca daripada penutup injap yang rosak, dinding silinder atau gelang piston yang haus. Jika asap muncul ketika pecutan, masalahnya mungkin berpunca daripada gelang piston, dan jika ia keluar ketika nyah-pecutan, ia mungkin melibatkan kepala silinder. Perhatikan tanda ini dan maklumkan kepada mekanik semasa membawa kereta ini ke bengkel untuk diagnosis.

Asap putih
Asap berwarna putih menandakan mungkin terdapat kebocoran pada bahan penyejuk (coolant), tulis Carmudi.com. Ia berkemungkinan besar berpunca daripada permasalahan dalam head gasket enjin anda. Paling teruk, mungkin terdapat keretakan pada kepala silinder atau blok enjin anda yang menyebabkan masalah ini berlaku sekaligus berpotensi menyebabkan kereta anda overheat.

Asap kelabu
Dipercayai berpunca daripada pembakaran minyak transmisi di dalam enjin, asap warna kelabu sering muncul dengan bau terbakar. Menurut Carmudi.com, ia mungkin juga disebabkan enjin menggunakan terlalu banyak minyak atau kerosakan pada pengecas turbo kereta anda. Bawa kereta ke bengkel untuk kenalpasti masalahnya.

Sumber: Carmudi.com