Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Dua Budak Dilapor Cedera Diserang Anjing Pengawal, Dipercayai Seret Mangsa Macam Bawa ‘Anak Patung’ Di Mulut

Dua orang kanak-kanak perempuan masing-masing berusia dua dan tiga tahun dikejarkan ke hospital di Birmingham setelah diserang seekor anjing pengawal pada Isnin, lapor Daily Mail.

Menurut portal itu, anjing tersebut dipercayai terlepas daripada premis perniagaan berhampiran sebelum menyerang kedua-duanya serta seorang wanita yang berjalan bersama. Anjing itu kemudiannya dilaporkan telah menyeret salah seorang daripada kanak-kanak itu seakan-akan ‘membawa patung di dalam mulutnya’.

Susulan itu, mereka berdua telah mengalami kecederaan di mana mangsa berusia tiga tahun mengalami kecederaan pada tangan dan kaki akibat digigit manakala mangsa dua tahun mengalami calar dan kecederaan pada kaki, tulis Daily Mail.

Tambah portal itu, orang ramai yang melalui kawasan sekitar telah bekejar ke tempat kejadian untuk membantu. Salah seorang lelaki telah menyelamatkan kanak-kanak berkenaan dan membawa mereka berlindung di dalam keretanya.

Susulan itu, pihak polis telah menangkap anjing berkenaan selepas menerima laporan serangan anjing berkenaan pada 12.30 pm Isnin lalu.

Jurucakap Perkhidmatan Ambulans West Midland mengatakan kedua-dua kanak-kanak itu dirawat di tempat kejadian sebelum di bawa ke hospital.

Walau bagaimanapun, dia juga mengatakan bahawa keadaan kedua-dua kanak-kanak itu tidak mengancam nyawa.

Sumber: Daily Mail

Amira

Love yourself.