Siakap Keli
Kredit: Google

Jangan Tak Tahu, Tabiat Suka Gigit Ais Sebenarnya Boleh Rosakkan Gigi

Terdapat banyak tabiat yang biasa diamalkan boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan jika diteruskan tanpa kawalan.

Mungkin ada yang pernah dengar, punca-punca berlakunya kerosakan pada gigi. Kena ingat, gigi adalah bahagian penting yang perlu dijaga kerana ia melibatkan rutin pemakanan kita setiap hari.

Jika gigi sudah rosak, maka ‘hilanglah’ selera makan. Malah akan sentiasa rasa sakit siang dan malam sampai tidak boleh tidur.

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini berkongsi tabiat-tabiat harian yang mungkin kerap kita buat, sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Antara tabiat buruk yang memudaratkan kesihatan pergigian adalah amalan menggigit benda keras seperti ais. Ini selalu kita buat apabila minum minuman berais. ‘Sayang’ ais tidak habis katanya.

Tahukah anda, tabiat menggigit ais ini boleh menyebabkan gigi kita mengalami keretakan atau ‘cracked tooth syndrome’. Dalam masa sama, gigi juga berisiko untuk patah.

Selain itu, pengambilan diet tinggi gula juga boleh merosakkan gigi. Senang kata, ia terjadi kalau kita suka minum air manis dan bergula dengan kerap. Kesan buruknya pula nanti, kita akan mengalami sakit karies gigi.

Jangan tidak tahu, merokok pun boleh merosakkan gigi. Kesan buruk akibat tabiat merokok ini rasanya semua sudah maklum. Cuma perlu diingati semula, merokok berisiko mengubah warna asal gigi dari putih ke kekuning-kuningan.

Tidak cantiklah, kan? Dan jangan tidak tahu, merokok juga boleh menyumbang kepada berlakunya kanser mulut. Kalau dibiarkan amalan ini tanpa sebarang kesedaran, bimbang wajah kita akan hilang kacaknya. Sudahlah gigi kuning, mulut pula ‘dihiasi’ kanser.

Satu tabiat lagi yang boleh memudaratkan gigi adalah amalan menghisap jari atau puting. Ini tabiat yang biasa dibuat oleh kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Mungkin para ibu bapa boleh berusaha mencegah perbuatan tersebut dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar pediatrik demi kebaikan anak kecil mereka.

Kesimpulannya, sekiranya gigi kita mengalami masalah, segeralah mendapat rawatan dan pencegahan daripada doktor gigi di mana-mana klinik gigi yang berdekatan.

Sumber: Twitter KKM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.