Jenazah seorang wanita warga emas yang disahkan positif COVID-19 dilaporkan hilang dari kuburnya di Nusa Tenggara Timur, lapor Kompas.
Memetik kenyataan Bupati Timor Tengah Selatan, Egusem Piether Tahun berkata, jenazah berkenaan dipercayai hilang pada Khamis, 4 Februari lalu. Jelasnya, beliau mengetahui perkara itu selepas ia tular daripada media sosial mengenai kehilangan jenazah berkenaan.
“Maklumat awalnya tular di media sosial, kemudian ada beberapa kawan yang hubungi saya. Saya minta petugas berkaitan untuk periksa di lokasi perkuburan, ternyata bentuk kuburnya tak seperti semasa dimakamkan,” kata Egusem.
Beliau kemudiannya pergi ke lokasi itu untuk memastikan keberadaan jenazah di kubur berkenaan. Selepas menggali, mereka mendapati jenazah wanita itu sudah tiada, tulis Kompas.
“Jenazah ini ‘dicuri’ oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak menyokong pengendalian COVID-19 di Kabupaten TTS,” katanya.
Tegas beliau, jenazah tersebut telah disahkan positif COVID-19 berdasarkan pemeriksaan kesihatan, bukan pemerintah yang menentukan status COVID-19 seseorang.
“Jika orang COVID-19, tentu negara akan mengeluarkan banyak wang. Kalau ada yang kata pemerintah COVID-kan orang itu tidak benar,” ujarnya.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui keberadaan jenazah itu agar melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan. Mereka juga bakal turun padang bagi mengenalpasti penduduk yang berpotensi menjadi kontak rapat jenazah itu.
Susulan itu, pihak polis Timor Tengah Selatan kini sedang menyiasat perkara tersebut termasuk mendapatkan kenyataan daripada ahli keluarga si mati. Sebelum ini, ahli keluarga pesakit dilaporkan pernah membuat permohonan lisan untuk memindahkan jenazah daripada tempat pemakaman khusus bagi pesakit COVID-19, namun ditolak.
Sumber: Kompas