Siakap Keli
Gambar: Bernama

Veteran ATM Perang Dunia Kedua, Ujang Mormin Meninggal Dunia

SEREMBAN, 9 Feb — Veteran Perang Dunia Kedua Prebet Ujang Mormin, 100, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor lewat petang tadi.

Berita duka itu disahkan cucu saudara perempuannya Lailawati Jamil, 59, ketika dihubungi Bernama di sini, yang berkata arwah meninggal dunia pada 5.05 petang.

Menurutnya, Allahyarham Ujang yang dipanggil atuk itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Jan lalu selepas dikesan positif COVID-19.

“Pihak hospital telefon saya empat hari lepas memaklumkan arwah sudah kritikal, dan sejak dari itu setiap hari saya mengikuti perkembangan keadaannya menerusi panggilan video dan semalam pun saya sempat tanya keadaan atuk lagi.

“Sebelum ini arwah ada meluahkan kerinduan untuk berjumpa sanak saudara dan kawan-kawan, seakan-akan arwah tahu masanya dah tiba, tapi kerana keadaan COVID-19 ketika ini kami tidak dapat menziarahinya, saya rasa  agak terkilan,” katanya.

Gambar: Bernama

Lailawati berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan Allahyarham ialah pada awal Januari lepas di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

Menyifatkan arwah sebagai seorang yang baik hati, pemaaf dan senang berkawan dengan orang ramai, Lailawati berkata kematian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada keluarganya.

Menurutnya, urusan mandi, mengkafankan dan solat jenazah diatur oleh pihak Kementerian Kesihatan  di Hospital Sungai Buloh kira-kira 9 pagi esok dan dijangka dikebumikan di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Port Dickson pada tengah hari.

Allahyarham Ujang yang berasal dari Kampung Kundur, Rembau pernah bersama-sama legenda wira perang Allahyarham Lt. Adnan Saidi ketika menentang tentera Jepun.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.