KUANTAN, 11 Feb (Bernama) — Kerajaan Pahang menyasarkan sebanyak 1.12 juta atau 70 peratus daripada 1.67 juta rakyat Pahang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi program suntikan vaksin yang dijadualkan bermula, akhir bulan ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bagi tujuan itu, sebanyak 69 premis seperti hospital, klinik kesihatan, dewan dan bangunan jabatan sedang dikaji kesesuaiannya untuk dijadikan pusat suntikan, dengan jumlah pemberi suntikan seramai 578 orang.
“Saya menyarankan semua pihak untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam mendapatkan suntikan vaksin ini mengikut tatacara yang ditetapkan bagi memastikan program suntikan di Pahang berjalan lancar dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Rosdy memaklumkan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam, menetapkan seramai 28,000 petugas barisan hadapan di Pahang antaranya kakitangan jabatan kesihatan, polis dan tentera sebagai penerima vaksin fasa pertama pada Februari ini.
Fasa kedua pula bermula April, melibatkan 360,000 orang terdiri daripada kalangan berisiko tinggi seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik sementara fasa ketiga pada Mei, membabitkan lebih 700,000 individu berusia 18 tahun ke atas.
Sumber: BERNAMA