Siakap Keli
Sedutan video yang tular di media sosial.

‘Konflik’ J&T Berpunca Daripada Bebanan Kerja & Isu Pembayaran Komisen Pekerja – KSM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Siasatan Kementerian Sumber Manusia (KSM) di premis syarikat perkhidmatan penghantaran barangan J&T Express di Perak berikutan kejadian pengagihan bungkusan secara ganas, mendapati ia berpunca daripada bebanan kerja dan isu pembayaran komisen pekerja syarikat itu.

Menerusi kenyataan hari ini, KSM memaklumkan siasatan mendapati terdapat pekerja terutamanya di bahagian penghantaran tidak berpuas hati dengan pemberian bonus berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku di sebuah premis perniagaan syarikat terletak di Perak dan ia berpunca daripada bebanan kerja yang dialami pekerja-pekerja di bahagian gudang berikutan peningkatan mendadak bungkusan.

“Siasatan turut mendapati terdapat dalam kalangan pekerja terutamanya di bahagian penghantaran (despatch) tidak berpuas hati dengan pemberian bonus berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral yang akan menyebabkan pendapatan pekerja yang terlibat berkurang,” menurut kenyataan itu.

Baru-baru ini, tular video berdurasi 15 saat yang menunjukkan beberapa pekerja syarikat berkenaan membaling barangan pelanggan dengan ada yang berteriak dipercayai tidak berpuas hati dengan pengurusan syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan masalah pembayaran gaji.

Menurut kenyataan itu, pihak majikan memaklumkan bahawa isu yang timbul disebabkan salah faham itu telah diselesaikan selain mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada para pelanggan serta menjelaskan tentang sistem pemberian bonus kepada kakitangan.

“Majikan digesa supaya sentiasa berbincang dengan pihak pekerja terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan yang melibatkan kepentingan mereka. Ini bagi memastikan keharmonian perusahaan yang dinikmati pada hari ini serta kebajikan pekerja akan terus berkekalan dan terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'