Seorang usahawan di Tennessee, Bill Dorris dilaporkan mewasiatkan $5 juta dolar (kira-kira RM20.2 juta) kepada anjing peliharaannya yang berusia 8 tahun, Lulu.
Menurut laman berita Fox32 Chicago, usahawan yang meninggal dunia pada usia 84 tahun pada tahun lalu itu telah mengamanahkan wang tersebut digunakan bagi perbelanjaan haiwan peliharaannya.
Tambah portal itu, wang tersebut akan disalurkan kepada penjaga Lulu yang merupakan rakan kepada lelaki itu sendiri, Martha Burton.
“Saya tak tahu apa yang harus difikirkan, sebenarnya, dia sangat menyayangi anjing itu,” kata Martha yang dilaporkan telah menjadi penjaga Lulu selama beberapa tahun setiap kali lelaki itu pergi merantau.
Susulan itu, wanita itu akan menerima sejumlah wang secara bulanan dari pemegang amanah bagi penjagaan haiwan tersebut.
Tulis Fox32 Chicago, tindakan meninggalkan harta kepada haiwan peliharaan bukan perkara yang luar biasa. Beberapa hartawan sebelum ini dilaporkan telah mewasiatkan wang berjuta dolar kepada anjing peliharaan mereka untuk kegunaan selepas mereka meninggal dunia. Antaranya ialah seorang usahawan wanita, Muriel Siebert yang mewariskan $100,000 dolar kepada anjing peliharaannya.
Sumber: Fox 32 Chicago