Siakap Keli
Gambar Via Thenewsminute.com

Dari Lebih RM421 Juta Tapi Yang Tinggal Cuma RM 28 Juta, Harta Maradona Dipercayai Telah ‘Dirembat’

Kekayaan mendiang Diego Maradona dilaporkan telah lesap selepas dijarah dan kini anak-anaknya berebut tinggalan harta yang bernilai lebih kurang £ 5 juta (RM28 juta).

Menurut seorang peguam, lagenda bola sepak dunia itu pernah memberitahu rakan-rakannya sebelum meninggal dunia bahawa dia mempunyai kekayaan sekitar £ 75 juta (RM421 juta).

Pun begitu, jumlah yang lesap dipercayai mungkin lebih 15 kali ganda daripada aset tunai dan harta benda yang terdapat dalam wasiatnya, lapor The Sun.

Peguam yang mewakili anak bongsu Maradona, Diego Fernando, melalui pendedahannya pada Ahad lalu berkata bahawa terdapat kemungkinan bahawa ada seseorang yang telah ‘mencuri’ kekayaan tersebut.

“Terdapat perbincangan mengenai nilai £ 75 juta tersebut namun hanya lebih dari £ 4 juta yang ada di dalam akaun bank bersama dengan  sebuah pangsapuri kecil, sebuah rumah lama yang dimiliki Diego dan dua buah kereta.

“Diego memperoleh banyak wang tetapi dia ‘tidak memilikinya’.

“Laporan perbelanjaan juga tiada, ini menyebabkan kami bingung dan tidak tahu sama ada harta tersebut dibelanjakan oleh mendiang atau orang lain,” kata peguam, Mario Baudry.

Mario juga menjawab mengenai dakwaan berkaitan peti besi di rumah Maradona yang telah ‘diceroboh’ sebelum dia menjalani pembedahan.

“Diego merasakan bahawa hanya dia sahaja yang dapat membukanya tetapi sesiapa pun sebenarnya boleh menyentuh peti besi itu,” katanya.

Sehingga kini, dalang yang melesapkan harta itu masih lagi belum diketahui.

Sumber: The Sun

Sofea

There's always another side to every story