Siakap Keli

“Matlamat Tidak Halalkan Cara”, Ini Nasihat Ustazah Asma’ Harun Untuk Mak Ayah Tentang Bahaya Aplikasi Viral

Baru-baru ini kita digemparkan dengan aplikasi viral yang didakwa menjadi medium mudah untuk mendapatkan duit.

Malang sekali, ‘jalan’ yang digunakan bukanlah secara halal, malah ia jiga didakwa berkait dengan gejala sosial yang tidak elok, dipercayai melibatkan hubungan terlarang.

Ekoran berisiko menjadi nanah dalam masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat laman web tersebut semalam.

Sehubungan itu, pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun menzahirkan kebimbangannya terhadap fenomena ‘berbahaya’ ini.

Buat golongan ibu bapa, mari ikuti nasihat Ustazah Asma’ Harun yang dikongsikan di Facebooknya seperti di bawah ini. Semoga bermanfaat.

Gambar hiasan | Kredit: Google

Ibu ayah dan penjaga, tolong berjaga aplikasi viral; aplikasi zina kelas atasan

Sejak lama, bukan akhir-akhir ini sahaja saya menerima luahan pengakuan pelajar universiti yang terlibat dengan aktiviti pelacuran. Ibu ayah tidak pernah tahu, walaupun dah bertahun terlibat.

Penampilan masih sama ketika pulang ke kampung, sangat berjaga-jaga agar rahsia tidak diketahui. Ada yang bertudung menutup aurat dengan sempurna ada yang tidak.

Ada sisi dunia remaja hari ini yang telah menjadikan media sosial sebagai “kiblat” hidup mereka, mula keinginan untuk diterima masyarakat (self-acceptence), nak dilihat hebat (sense of competition) dan ketagihan penghargaan dan perhatian.

Media sosial telah membentuk gambaran cara hidup yang diimpikan, lalu timbul keghairahan untuk mencapainya, merasuk dan menjalar hingga ke tulang. Apa sahaja cara walau salah dan kotor dipejamkan mata, ditulikan telinga dan dibutakan hati, agar “Yang penting aku dapat aku yang untung aku yang rasa”.

Belum kita sentuh ideologi materialism, sekularisme, liberalism, atiesme dan lain-lain. Mengasingkan terus agama dengan kehidupan seharian. Tiada kaitan dengan dosa pahala, bahkan menafikan wujud syurga neraka. Hidup perlu dan boleh dinikmati tanpa ada ikatan salah dan betul. Bahkan tubuh badan ini adalah hak milik mutlak sendiri. Tiada siapa yang berhak berkata itu ini untuk diri sendiri.

Anak-anak kita yang berada di dalam bilik atau rumah, mereka mula keluar ke alam maya yang jauh lebih luas. Apa yang mereka lihat dan baca sangat mempengaruhi fikiran, prinsip, kefahaman, pegangan dan seterusnya tingkah laku mereka. Dan sudah tentu segala yang dilarang agama adalah yang menyeronokkan dan menjadi satu keperluan remaja hari ini.

Kecuali remaja yang dijaga diawasi oleh ibu bapa dengan baik, menjadikan anak sebagai kawan rapat yang mana mereka boleh mengisi keperluan jiwa remaja mereka yang perlukan perhatian, penghargaan dan jawapan kepada pertanyaan dengan baik.

Duhai ibu ayah dan penjaga,

Kita perlu tahu tentang kewujudan satu aplikasi aplikasi viral yang telah disekat penggunaannya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Namun, masih ada banyak lagi sisi gelap dunia maya yang memudahkan aktiviti ini.

Adakah kita jamin anak-anak kita selamat? Sedangkan mereka yang telah terlibat juga ibu bapa mereka tidak tahu dan tidak langsung terfikir anak mereka boleh terjebak.

Saya bukan ingin menakutkan, ini peringatan keras untuk diri saya sendiri. Ketika menuliskan ini saya ingin cepat menyiapkan dan bertemu dengan anak-anak serta bercakap dengan mereka tentang beberapa cabaran yang mereka bakal lalui. Juga muhasabah diri bahawa banyak yang perlu saya perbaiki hubungan dengan anak agar mereka menjadikan saya kawan baik mereka.

Izinkan saya sambung sedikit lagi, secara jelas aplikasi viral ini bukan sekadar “dating apps”, ‘tagline’nya sahaja sudah jelas menyatakan bahawa aplikasi viral ialah laman sosial yang dibina untuk “Romance Meet Finance” iaitu “Keromantisan Bertemu Dengan Kewangan”.

Melalui laman ini, para sugar daddy atau sugar mummy yang terdiri daripada lelaki dan wanita berusia 35 tahun ke atas dan memiliki status kewangan yang kukuh akan memburu sugar baby mereka yang berusia sekitar 30 tahun ke bawah yang memerlukan bantuan kewangan.

Aplikasi ini merupakan sebuah laman sosial yang menjadi pemudah cara kepada zina. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra: 32)

Ada yang memberi alasan bahawa mereka yang menjadi sugar baby ini berada dalam keadaan terdesak dan memerlukan pendapatan untuk menyara hidup, cara ini tidak sesekali diterima oleh Islam dan mana-mana agama serta budaya.

Kaedah fiqh ada menyebutkan:

“الغَايَةُ لَا تُبَرِّرُ الوَسِيلَة”

Maksudnya: “Matlamat tidak menghalalkan cara.”

Nabi Muhammad SAW memberi peringatan akan tiba saatnya, normalisasi zina bakal berlaku dan mengundang bala, keburukan dan kehancuran dalam masyarakat. Sabda baginda SAW:

إِذَا ظَهَرَ الزِّنَا وَ الرِّبَا فِي قَرْيَةٍ ، فَقَدْ أَحَلُّوا بِأَنفُسِهِم عَذَابَ اللهِ

“Sekiranya berleluasa perbuatan zina dan riba dalam sesuatu kawasan, maka mereka telah mengundang azab Allah kepada mereka.” (HR al-Tabrani, dinilai sahih oleh al-Albani).

Allahu Akbar, kerana itu Nabi SAW berpesan agar kita berpegang kepada dua perkara yang akan menjaga kita selama-lamanya:

تَركْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ، لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).” [Riwayat Malik (1594)]

Sebagai kesimpulan, kegiatan “pelacuran moden” seperti ini perlu dibanteras secara drastik, keras, segera oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan yang ada kuasa, ibu bapa penjaga dan masyarakat.

Jika tidak, walaupun mungkin kita dan ahli keluarga tidak terlibat, lalu hanya dibiarkan sahaja, bimbang sikap kita seperti termasuk dalam kalangan yang redha kepada maksiat.

الرِّضَا بِالْمَعْصِيَةِ مَعْصِيَة

Maksudnya: “Keredhaan kepada maksiat ialah maksiat.”

Dan ingatlah, rasa benci terhadap kemungkaran merupakan petanda masih wujudnya iman di dalam hati, jika tidak bimbang kita mati dalam tiada iman.

عَنْ أَبِي سَعِيْد الْخُدْرِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ

[رواه مسلم]

Dari Abu Sa’id Al Khudri radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang melihat kemungkaran maka rubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka rubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman. (Riwayat Muslim)

Doa mohon perlindungan daripada fitnah zina

اللَّهُمَّ إِني أعوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ سَمْعِي، وَمِن شَرِّ بصَرِي، وَمِن شَرِّ لسَاني، وَمِن شَرِّ قَلبي، وَمِن شَرِّ منِيِّي

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari buruknya pendengaranku, buruknya penglihatanku, buruknya lidahku, dan dari buruknya hatiku serta buruknya air maniku (kemaluanku)” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Semoga bermanfaat buat semua.

Silakan share, kita berkongsi kebaikan dan ganjaran pahala.

Asma’ binti Harun

#UAHSahabatDuniaAkhirat
#SahabatAmalCare

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'