PUTRAJAYA, 18 Feb – Aktiviti sosial dan pelancongan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dibenarkan beroperasi dengan 50 peratus kapasiti premis dan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara premis dan aktiviti yang dibenarkan beroperasi itu ialah zoo, ladang, akuarium, pusat hiburan keluarga, taman rekreasi, pusat sukan ekstrim, aktiviti berkaitan alam semulajadi dan sebagainya.
Dalam pada itu, kebenaran tersebut juga turut diberikan kepada aktiviti premis hasil seni budaya, muzium, perpustakaan, galeri seni, pentas budaya, taman tema outdoor.
Bagaimanapun, pusat hiburan ‘indoor’ pula tidak dibenarkan beroperasi.
Dalam masa sama, semua kebenaran beroperasi tersebut dikecualikan bagi kawasan PKP.
Selain itu, segala aktiviti dari kawasan PKPB dan PKPP ke kawasan PKP tetap tidak dibenarkan, malah aktiviti merentas daerah dalam PKP juga masih kekal tidak dibenarkan setakat ini.
Sumber: RTM