Siakap Keli
Gambar: Bernama

Muat Naik Video Kenyataan Jelik, Jamal Yunos Akan Kemuka Representasi

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) — Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang didakwa atas dua pertuduhan memuat naik video dengan kenyataan jelik di laman Facebook miliknya, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan itu.

Peguam Datuk Imran Tamrin yang mewakili Jamal, 51, berkata representasi itu akan difailkan sebelum 30 Mac ini.

Menurut peguam itu, pihak pembelaan juga memerlukan masa untuk meneliti dokumen-dokumen berkaitan kes yang telah diserahkan oleh pihak pendakwaan hari ini.

“Mahkamah menetapkan 30 Mac untuk sebutan semula kes,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ampang Jumirah Marjuki yang turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Jamal dituduh dengan sengaja memuat naik dua video dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, yang telah dilihat pada tengah hari, 20 Ogos 2020 di Taman Dagang Avenue, Ampang dekat sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan melalui laman Facebook menggunakan profil Datuk Seri Jamal Yunos di pautan www. facebook.com/watch/live masing-masing pada 10 pagi dan 3 petang pada 19 Ogos 2020.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.